05 February 2009

APIS, Selamat Berjuang!

Pada 1 Februari 2009 bersamaan 5 Safar 1430H, Ahad yang lepas, Muktamar Sanawi Alumni Pelajar Islam Sekolah Berasrama Penuh (APIS) Kali Ke-2 selamat berlangsung, mengambil tempat di Dewan Masjid Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya. Alhamdulillah, dengan keizinan masa dan kudrat yang dianugerahkan Allah SWT, saya berpeluang menyertai sahabat-sahabat seperjuangan APIS yang lain bermuktamar bagi pertama kalinya. Saya juga bersyukur kerana buat kali keduanya saya dapat menyertai satu lagi program penting anjuran APIS selepas penyertaan pertama dalam program APIS di Program Jalinan Ukhwah (PJU) kali ke-3 yang diadakan pada tahun lepas.

Waktunya untuk perubahan

Saya bukanlah salah seorang daripada barisan exco atau ahli jawatankuasa APIS tetapi saya hanyalah ahli biasa sahaja. Walaupun begitu, saya pernah beberapa kali dipelawa oleh saudara Ikhwan, Pengerusi APIS (2009/2010) sendiri dan juga saudara Shah Reza (Ketua Biro Multimedia & Informasi APIS yang juga merupakan sahabat seperjuangan saya di Program Pre France) untuk menyertai mereka dalam kepimpinan APIS. Bila direnung-renungkan balik, secara jujurnya saya akui bahawa saya banyak 'bermain tali' atau sedikit berdolah-dalih dalam memberikan jawapan terhadap pelawaan mereka ini. Saya memang berhajat menyertai jemaah kepimpinan APIS tetapi alasan "saya tidak bersedia" daripada insan yang lemah inilah menjadikan pelawaan itu tidak lain tidak bukan hanyalah tinggal sekadar suatu pelawaan semata-mata, suatu pelawaan yang tidak dijawab dengan jawapan yang tidak kunjung tiba.

Dalam ucapan penggulungan saudara Ikhwan sebagai Presiden APIS (2008/2009), saya begitu 'tersentuh' dengan kata-kata saudara Ikhwan yang mana beliau ada melontarkan persoalan bahawa sampai bila kita hanya mampu memberi cadangan dan bercakap dari belakang dan bilakah masanya pula untuk kita bekerja dan melakukan apa yang telah kita cakapkan? Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (As-Saff: 2-3)
Kata-kata saudara Ikhwan itu benar-benar bagaikan suatu sindiran kepada saya, membuatkan diri ini terasa bersalah dan kecil diri. Saya sedar sampai bila saya hanya mampu begini, hanya mampu berkongsi buah fikiran dengan rakan-rakan seperjuangan APIS yang lain tapi bilakah waktunya pula untuk saya merasa sendiri dan berkongsi susah payah mereka bekerja untuk APIS?

Ternyata, sudah sampai masanya suatu perubahan perlu dilakukan. Sudah sampai masanya untuk saya berani membantu dan berjuang dalam jemaah dengan sahabat-sahabat yang lain dalam APIS dengan lingkungan kemampuan saya samada secara perkongsian fikrah ataupun gerak kerja. Sesungguhnya saya hanyalah seorang insan yang lemah, masih banyak kelemahan pada diri sendiri. Tunjuk ajar daripada 'senior-senior' APIS yang lain amatlah saya alu-alukan. InsyaAllah, saya akan berusaha membantu antum dengan sebaik mungkin.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau ada salah tolong tunjukkan.


Bersama dengan saudara Ikhwan (Pengerusi APIS 2009/2010)


Merekalah sahabat-sahabat seperjuangan dalam APIS


Selamat Berjuang kepada APIS

APIS kini sedang meniti usia ke-2 tahun kewujudannya, masih muda usianya. Banyak lagi ranjau dan onak duri yang perlu ditempuhi. Walaupun APIS masih muda, sedikit dari segi bilangan ahlinya, namun, dengan hasil kerja keras, dedikasi dan pengorbanan daripada seluruh jemaah APIS, baik daripada barisan pimpinan mahupun daripada ahli-ahlinya, insyaAllah, dengan izin Allah SWT, tidak mustahil APIS boleh berjaya dan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan organisasi atau pertubuhan besar lain yang semaksud matlamatnya; menegakkan syiar Islam di muka bumi Allah. Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfaal, ayat ke-66 yang bermaksud:
"Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar."

Yakinlah dengan janji Allah sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad dan umat baginda yang bersabar berjihad di jalan Allah. Walaupun kita kecil dan sedikit dari segi bilangannya, namun dengan kesabaran semua pihak, APIS pasti akan berjaya jua, insyaAllah.

Barisan pimpinan baru APIS bagi sesi 2009/2010

Kepada pimpinan baru APIS yang baru dipilih pada muktamar kedua baru-baru ini, tahniah dan takziah saya ucapkan. Marilah kita semua memperbaik diri kita semua sebaik-baiknya dalam meneruskan perjuangan menjadikan APIS suatu pertubuhan yang berjaya dalam misi dan visinya, dan yang paling penting ialah perjuangan mendaulatkan syiar Islam di muka bumi Allah ini.

Wallahualam

1 comment:

Al-Faqir 'Abdullah Munib ilaiHi said...

Salam akhi,

Tahniah. Syukur kepada ALLAH. Dia hadirkan insan seperti anta selaku tenaga muda Islam yang sangat besar potensinya kepada Islam. Ayuh sama-sama kita perkasakan perjuangan ini. :) APIS hanya sebagai salah satu jalannya. Insya ALLAH bertemu lagi. :)