30 June 2013

PENGUMUMAN - Cerita Kita 2.0

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Dengan ini saya memaklumkan bahawa segala aktiviti penulisan saya di blog Cerita Kita ini akan dihentikan. InsyaAllah anda boleh terus mengikuti perkongsian saya di blog terbaru saya - 'Cerita Kita' di alamat http://al-qasas.blogspot.com.

Wallahu'alam.


17 April 2013

Provokasi Kesukaan Kita

Bismillahirrahmanirrahim.

Dunia digemparkan dengan berita letupan di Boston, Amerika Syarikat yang mengakibatkan 3 orang terbunuh dan 176 orang tercedera (setakat entri ini ditulis). Saya dan teman-teman muslimin yang lain turut berduka cita atas apa yang berlaku dan berkongsi detik-detik sukar ini bersama seluruh rakyat Boston dan Amerika Syarikat.

Letupan ketika Boston Marathon.

Firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 32:
"... bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia tanpa alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya. Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya."
Dan berpegang kepada prinsip yang diajarkan kepada kami ini, maka kami penganut agama Islam menolak sebarang bentuk keganasan, kezaliman dan pembunuhan tanpa sebab.

Tapi dalam masa ketika seluruh dunia berduka cita atas apa yang berlaku, ada satu kelompok dari kumpulan ummah Islam yang membawa satu bentuk pemikiran atau tabiat yang agak tidak saya senangi, iaitu tabiat memprovokasi dengan cara memperlekehkan manusia lain.

Adakah Kita Manusia Beragama Yang Suka Memprovokasi?


Di Facebook, inilah antara post yang paling banyak dikongsi dan disukai oleh warga FBian muslimin. Perbuatan menyebar gambar inilah yang saya maksudkan sebagai tabiat yang tidak saya sukai.

Kenapa?

Saya memahami perasaan teman yang lain yang melihat kezaliman dan penindasan yang berlaku ke atas masyarakat muslim di Palestin, Syria, Myanmar dan di tempat lain seolahnya tidak mendapat simpati oleh dunia. Mata, telinga dan mulut ditutup. Sebaliknya, sejurus selepas tersebarnya khabar letupan  kejadian letupan di Boston, tiba-tiba seluruh dunia yang sebelumnya itu pendiam, pekak dan bisu, mula memberi respon. Inilah punca warga muslim tidak berpuas hati. Dan inilah pada saya punca kita mula memprovokasi dengan cara memperlekeh orang lain.

Ya, saya akui ada sesetengah manusia yang tidak atau kurang ambil peduli tentang apa yang berlaku di Palestin, Syria, atau Myanmar. Tapi pada saya, tidak adil untuk 'pukul sama rata' dengan provokasi seperti gambar di atas.

Kalau ikutkan pemerhatian saya, masyarakat di Barat yang bukan Islam bahkan tidak beragama (atheis), lebih responsif dan aktif dalam isu-isu kemanusiaan sejagat, tidak kira masa dan tempat, baik di negara penduduknya majoriti muslim ataupun tidak. Perang di Afghanistan dan Iraq, atau kezaliman rejim Zionis Israel ke atas Palestin, mereka sebenarnya lebih terkehadapan dari segi tindakan berbanding ummah Islam sendiri.

Jatuhnya pemerintahan Parti Republikan dan naiknya Parti Demokrat di bawah pimpinan Barack Obama di Amerika Syarikat, antara asbabnya ialah rakyat Amerika Syarikat menentang polisi perang ke atas negara luar.

Demonstrasi jalanan secara besar-besaran dan usaha memboikot produk syarikat pro-Zionis Israel di Barat kerana menentang tindakan jahat rejim Zionis Israel, ianya juga lebih meriah, mendapat sambutan dan berkesan apabila digerakkan oleh masyarakat di Barat, terutamanya mereka yang bukan muslim.

Nahnu Qaumun Amaliyyun, Bukan Keyboard Warrior

Tindakan provokasi sebegini rupa, pada saya ia berpunca dari masalah kita yang kuat berprejudis terhadap orang lain dan terburu-buru dalam bertindak.

Pada era ini, media merupakan satu agen pendoktrinan dan penyebar persepsi yang sangat efisien. Medialah yang membentuk cara pandang, cara fikir dan cara kita bertindak. Kita kena sedar bahawa 'fenomena dunia tidak mempedulikan isu ummah Islam', puncanya ialah media, bukan warga bukan Islam itu sendiri. Maka kita sepatutnya mempersalahkan media antarabangsa kerana mendiamkan isu-isu berkaitan ummah Islam, bukannya manusia lain. Medialah yang membuatkan kita tersalah sangka.

Saya melihat meskipun media di Amerika Syarikat memomokkan rakyatnya dengan cerita orang Islam sebagai pengganas dan punca keganasan, namun pada realitinya di medan, majoriti rakyat tidak termakan dengan propaganda tersebut. Contoh lain, dahulunya media menggambarkan rakyat Palestin sebagai pengganas dan sukakan pengeboman berani mati. Namun realitinya, masyarakat antarabangsa kemudiannya memahami tindakan tersebut dan mula beralih menyokong perjuangan rakyat Palestin mewujudkan negara Palestin yang merdeka, disamping lantang menentang taktik jahat Zionis Israel. Dari segi usaha boikot, masyarakat di Barat dan bukan Islam lebih jauh terkehadapan, sedangkan ummah Islam di negara majoriti penduduk muslim sendiri banyak alasan tidak mahu menyahut seruan memboikot.

Di alam maya, mereka kelihatan mendiamkan, memekakkan dan membisukan diri dan kitalah yang dianggap sebagai pejuang sebenar, kuat bercakap dan menzahirkan sokongan kepada warga muslim yang tertindas.

Namun realitinya di medan, mereka lebih aktif dan responsif. Demonstrasi membantah kezaliman, sumbangan derma dan usaha boikot, mereka lebih hebat. Kita? Demonstrasi jalanan katanya bukan budaya kita dan merugikan ekonomi. Usaha boikot katanya tidak memberi impak, merugikan ekonomi negara, tidak adil, dan banyak alasan lain.

Ayuh mara wahai keyboard warriors!

Kita sebenarnya ialah golongan yang beramal di medan sebenar seiring dengan ucapan, bukan sekadar hebat menjadi keyboard warrior dan kaki provokasi.

Berlakulah Adil

Kerana itu sejujurnya pada saya, tindakan memaparkan gambar di atas merupakan salah satu tindakan mula menjadi tabiat kegemaran kita, tindakan memprovokasi dengan cara memperlekehkan orang lain.

Bagi saya, ia tidak adil. Hanya kerana mereka mula sibuk bercakap tentang letupan di Boston, kita terus melabel mereka berat sebelah kerana tidak prihatin terhadap isu warga muslim di Palestin, Syria dan Myanmar.

Cuba perhatikan bila mana berlaku kejadian gempa bumi dan kebocoran reaktor nuklear di Fukushima, Jepun, kejadian taufan Katrina, banjir besar dan tanah runtuh di China, bahkan di Indonesia sendiri, adakah kita ambil peduli? 

Bila kita tak ambil peduli, tidak pernah pula saya menjumpai gambar seperti gambar di atas dari mereka yang memprovokasi dan mempertikaikan sikap berat sebelah ummah Islam terhadap isu musibah yang melanda mereka.
"Dan janganlah kamu merasa hina, dan jangan merasa sedih sedang kamulah yang paling tinggi sekiranya kamu orang-orang beriman. Jika kamu ditimpa kesakitan, maka (ketahuilah bahawa) mereka juga ditimpa sakit seperti kamu. Demikianlah Kami mempergilirkan hari-hari (turun naik dan suka duka) dalam kalangan manusia. Dan supaya Allah mengetahui (siapa benar-benar) orang-orang beriman dan supaya Dia mengambil para syuhada dari kalangan mereka. Dan Allah tidak suka orang-orang zalim." (Ali Imran : 139-140)
Ikhwah akhawat rahimakumullah, kita ummah Islam yang kuat, tidak perlu memprovokasi orang lain semata-mata untuk mendapatkan simpati.

Semoga Allah mengampunkan dosa kita atas kelalaian kita.

Wallahu'alam.

25 March 2013

Ikhlas dan Kerana Allah

Akhuna Iman yang dirindui...
 
Al-marhum Muhammad Nur Iman Shafiq bin Abdul Rahman telah meninggal dunia pada hari Sabtu 16 Mac 2013 lalu selepas terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya. Kepergiannya dari dunia ini sangat menyedihkan, terutamanya bagi mereka yang rapat dan mengenali sosok tubuh yang dipanggil Iman ini.

Saya bukanlah seorang kenalan rapat al-marhum, tetapi saya pernah diizinkan oleh-Nya untuk bertemu dengan al-marhum sebanyak tiga kali. Kali pertama di KONSISTEN IKRAM 2011, keduanya pada tahun 2012 di SMS Banting dalam satu program bersama ikhwah UK dan kali terakhir di PERSISTEN IKRAM pada tahun yang sama. Saya bersyukur, meskipun dalam perkenalan yang singkat ini, saya masih berpeluang mengambil banyak ibrah daripada qudwah hasanahnya.

Selepas kepergiannya, banyak ikhwah menceritakan kebaikan dan amal soleh al-marhum, dan mereka juga bersaksi bahawa al-marhum sesungguhnya telahpun melaksanakan kewajipan syahadatul haq menyampaikan risalah Islam kepada manusia. Ikut kata hati, saya juga mengiyakannya.

Saya berbangga akan al-marhum kerana kepergiannya diiringi oleh puji-pujian dan cerita-cerita baik tentang diri dan amalnya. Dalam masa yang sama, saya juga mencerumbuinya.

Andaikata cemburu saya terhadapnya menggerakkan saya untuk lebih kuat, bersungguh dan istiqamah di jalan D&T demi Allah, maka itulah yang saya harap-harapkan.

Akan tetapi, andaikata cemburu buta saya menggerakkan saya untuk ALL OUT dalam D&T dengan niat supaya semasa hidup dan mati dalam keadaan dipuji dan diangkat oleh manusia, maka itu sesuatu yang saya doakan supaya dijauhkan dari saya dan supaya hati ini dipelihara daripada lintasan hati yang tidak baik

Ikhwah akhawat rahimakumullah, marilah kita sama-sama mengambil pengajaran daripada satu hadith yang panjang yang mana Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah bersabda bahawa orang-orang yang mula-mula diseru pada hari kiamat ialah lelaki yang membaca/menghafaz Al-Quran, lelaki yang banyak harta dan lelaki yang terkorban dalam perang sabil.
Kepada lelaki yang membaca/menghafaz Al-Quran, Allah Ta'ala berfirman, "Tidakkah Aku ajarkan engkau apa yang Aku turunkan melalui Rasul-Ku?"

Apabila lelaki itu menjawab, "Ya, wahai Tuhanku", Allah berfirman lagi, "Apa yang engkau amalkan dengan apa yang engkau ketahui di dalam Al-Quran itu?"

Jika lelaki itu berbohong, Allah berfirman kepadanya, "Engkau dusta!". Para malaikat juga turut berkata demikian. "Engkau sebenarnya mahukan pujian orang. Sesungguhnya apa yang engkau mahu itu engkau telah dapat dan itulah ganjaran untukmu".

Kepada orang kaya pula Allah berfirman, "Tidakkah Aku kurniakan kekayaan kepada engkau sehingga engkau tidak perlukan bantuan orang lain?"

Jawab orang kaya, "Ya, wahai Tuhanku". Lalu Allah berfirman lagi, "Apakah yang engkau lakukan dengan kekayaan yang Aku kurniakan itu?"

Jika orang kaya itu menjawab, dia gunakan hartanya untuk menghubungkan silaturrahim dan bersedekah, Allah lalu berfirman dan diikuti oleh para malaikat, "Engkau berdusta! Sebenarnya engkau mahu dikatakan orang, bahawa engkau pemurah. Engkau telah memperolehi apa yang engkau mahu itu dan itulah ganjaran untukmu!"

Demikianlah juga, firman Allah kepada lelaki yang terkorban dalam perang sabil, apabila dia berbohong dengan mengatakan, "Engkau perintah kami berjihad fi sabilillah, maka aku berjihad. Dalam perang sabil aku membunuh dan akhirnya aku dibunuh".
Semoga Allah sentiasa menjaga keikhlasan kita dalam beramal. Dan sentiasalah kita mengamalkan doa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w kepada Sayyidina Ali r.a. supaya tidak lemas dalam pujian manusia: 

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ مَا لاَيَعْلَمُوْنَ

وَلاَ تُؤَاخِذْنِيْ بِمَا يَقُوْلُوْنَ

وَاجْعَلْنِيْ خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّوْنَ
 "Ya Allah, ampunilah aku dari apa yang tidak mereka ketahui, dan janganlah Engkau hukum aku atas apa yang dikatakan oleh orang-orang itu, dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan."
Moga Allah redha.

13 December 2012

Gantikan Dia dengan Orang Lain!

Di awal saingan Piala AFF Suzuki 2012, sudah banyak peminat yang mula mempertikaikan kredibiliti jurulatih negara, K. Rajagopal dan meminta dia ditukarkan. Sehinggalah pada saat kekalahan Malaysia kepada Thailand di peringkat separuh akhir, ketidakpuasan hati peminat akhirnya sampai ke kemuncak.

Rasa marah, geram dan kecewa, semuanya dilontarkan kepada Rajagopal dan pemain.

Pemain Malaysia meraikan kejayaan bersama jurulatih K. Rajagopal

Wahai saudaraku penyokong setia Harimau Malaya, pemain dan jurulatih itu memang boleh dicari ganti. Tapi pasukan Malaysia tak boleh dicari ganti, tetap akan wujud buat selamanya.

Begitulah juga dengan agama Islam kita. Penganutnya akan bersilih ganti terdiri dari pelbagai jenis bangsa, tetapi agama Islam tetap selamanya sama.

Allah menciptakan kita sebagai hamba untuk beribadah kepada-Nya, dan menjadi khalifah yang mentadbir bumi dengan agama-Nya. Sejarah lalu membuktikan bahawa setiap kaum yang menolak seruan dakwah Islam dan tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup selepas diutuskan para rasul kepada mereka, Allah akan mengazab dan menggantikan mereka dengan kaum yang lain.
"... dan jika kamu berpaling (dari agama Allah) akan Allah gantikan satu kaum yang lain dri kamu, kemudian mereka tidak jadi seperti kamu." (QS Muhammad, 47 : 38)
Begitulah peringatan daripada Allah kepada kita ummah Nabi Muhammad s.aw..

Wahai saudaraku penyokong setia Harimau Malaya, kita sibuk memekik dari luar padang meminta supaya jurulatih atau pemain digantikan bila mana mereka tidak perform.

Bayangkan kita yang diciptakan untuk mengabdikan diri kepada-Nya tidak perform, tidak takutkah kita kalau kita akan dihukum dan digantikan dengan orang lain oleh Allah?

Ingatkah kita akan kisah iblis dihalau keluar dari syurga? Iblis dihalau keluar dari syurga hanya kerana sekali sahaja enggan patuh kepada perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam a.s..

Bayangkan kita yang sudah berapa banyak kali tidak sujud kepada-Nya dan melanggar perintah-Nya, agak-agaknya nasib kita pada masa akan datang? Allah itu Maha Pengasih, maka Dia tangguhkan hukuman agar kita boleh bertaubat. Tapi sampai bila? Kita tak tahu. Hukuman Allah, bila-bila masa boleh terjadi.

Astaghfirullah. Ya Allah, tetapkanlah hati-hati kami di jalan dakwah ini. Moga amal kami selama ini akan menjadi saksi dan bukti daripada kami kepada Engkau pada Hari Pengadilan kelak. Amin.

Wallahu'alam.