Bismillahirrahmanirrahim.
Dunia digemparkan dengan berita letupan di Boston, Amerika Syarikat yang mengakibatkan 3 orang terbunuh dan 176 orang tercedera (setakat entri ini ditulis). Saya dan teman-teman muslimin yang lain turut berduka cita atas apa yang berlaku dan berkongsi detik-detik sukar ini bersama seluruh rakyat Boston dan Amerika Syarikat.
![]() |
| Letupan ketika Boston Marathon. |
Firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 32:
"... bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia tanpa alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya. Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya."
Dan berpegang kepada prinsip yang diajarkan kepada kami ini, maka kami penganut agama Islam menolak sebarang bentuk keganasan, kezaliman dan pembunuhan tanpa sebab.
Tapi dalam masa ketika seluruh dunia berduka cita atas apa yang berlaku, ada satu kelompok dari kumpulan ummah Islam yang membawa satu bentuk pemikiran atau tabiat yang agak tidak saya senangi, iaitu tabiat memprovokasi dengan cara memperlekehkan manusia lain.
Adakah Kita Manusia Beragama Yang Suka Memprovokasi?
Di Facebook, inilah antara post yang paling banyak dikongsi dan disukai oleh warga FBian muslimin. Perbuatan menyebar gambar inilah yang saya maksudkan sebagai tabiat yang tidak saya sukai.
Kenapa?
Saya memahami perasaan teman yang lain yang melihat kezaliman dan penindasan yang berlaku ke atas masyarakat muslim di Palestin, Syria, Myanmar dan di tempat lain seolahnya tidak mendapat simpati oleh dunia. Mata, telinga dan mulut ditutup. Sebaliknya, sejurus selepas tersebarnya khabar letupan kejadian letupan di Boston, tiba-tiba seluruh dunia yang sebelumnya itu pendiam, pekak dan bisu, mula memberi respon. Inilah punca warga muslim tidak berpuas hati. Dan inilah pada saya punca kita mula memprovokasi dengan cara memperlekeh orang lain.
Ya, saya akui ada sesetengah manusia yang tidak atau kurang ambil peduli tentang apa yang berlaku di Palestin, Syria, atau Myanmar. Tapi pada saya, tidak adil untuk 'pukul sama rata' dengan provokasi seperti gambar di atas.
Kalau ikutkan pemerhatian saya, masyarakat di Barat yang bukan Islam bahkan tidak beragama (atheis), lebih responsif dan aktif dalam isu-isu kemanusiaan sejagat, tidak kira masa dan tempat, baik di negara penduduknya majoriti muslim ataupun tidak. Perang di Afghanistan dan Iraq, atau kezaliman rejim Zionis Israel ke atas Palestin, mereka sebenarnya lebih terkehadapan dari segi tindakan berbanding ummah Islam sendiri.
Jatuhnya pemerintahan Parti Republikan dan naiknya Parti Demokrat di bawah pimpinan Barack Obama di Amerika Syarikat, antara asbabnya ialah rakyat Amerika Syarikat menentang polisi perang ke atas negara luar.
Demonstrasi jalanan secara besar-besaran dan usaha memboikot produk syarikat pro-Zionis Israel di Barat kerana menentang tindakan jahat rejim Zionis Israel, ianya juga lebih meriah, mendapat sambutan dan berkesan apabila digerakkan oleh masyarakat di Barat, terutamanya mereka yang bukan muslim.
Nahnu Qaumun Amaliyyun, Bukan Keyboard Warrior
Tindakan provokasi sebegini rupa, pada saya ia berpunca dari masalah kita yang kuat berprejudis terhadap orang lain dan terburu-buru dalam bertindak.
Pada era ini, media merupakan satu agen pendoktrinan dan penyebar persepsi yang sangat efisien. Medialah yang membentuk cara pandang, cara fikir dan cara kita bertindak. Kita kena sedar bahawa 'fenomena dunia tidak mempedulikan isu ummah Islam', puncanya ialah media, bukan warga bukan Islam itu sendiri. Maka kita sepatutnya mempersalahkan media antarabangsa kerana mendiamkan isu-isu berkaitan ummah Islam, bukannya manusia lain. Medialah yang membuatkan kita tersalah sangka.
Saya melihat meskipun media di Amerika Syarikat memomokkan rakyatnya dengan cerita orang Islam sebagai pengganas dan punca keganasan, namun pada realitinya di medan, majoriti rakyat tidak termakan dengan propaganda tersebut. Contoh lain, dahulunya media menggambarkan rakyat Palestin sebagai pengganas dan sukakan pengeboman berani mati. Namun realitinya, masyarakat antarabangsa kemudiannya memahami tindakan tersebut dan mula beralih menyokong perjuangan rakyat Palestin mewujudkan negara Palestin yang merdeka, disamping lantang menentang taktik jahat Zionis Israel. Dari segi usaha boikot, masyarakat di Barat dan bukan Islam lebih jauh terkehadapan, sedangkan ummah Islam di negara majoriti penduduk muslim sendiri banyak alasan tidak mahu menyahut seruan memboikot.
Di alam maya, mereka kelihatan mendiamkan, memekakkan dan membisukan diri dan kitalah yang dianggap sebagai pejuang sebenar, kuat bercakap dan menzahirkan sokongan kepada warga muslim yang tertindas.
Namun realitinya di medan, mereka lebih aktif dan responsif. Demonstrasi membantah kezaliman, sumbangan derma dan usaha boikot, mereka lebih hebat. Kita? Demonstrasi jalanan katanya bukan budaya kita dan merugikan ekonomi. Usaha boikot katanya tidak memberi impak, merugikan ekonomi negara, tidak adil, dan banyak alasan lain.
![]() |
| Ayuh mara wahai keyboard warriors! |
Kita sebenarnya ialah golongan yang beramal di medan sebenar seiring dengan ucapan, bukan sekadar hebat menjadi keyboard warrior dan kaki provokasi.
Berlakulah Adil
Kerana itu sejujurnya pada saya, tindakan memaparkan gambar di atas merupakan salah satu tindakan mula menjadi tabiat kegemaran kita, tindakan memprovokasi dengan cara memperlekehkan orang lain.
Bagi saya, ia tidak adil. Hanya kerana mereka mula sibuk bercakap tentang letupan di Boston, kita terus melabel mereka berat sebelah kerana tidak prihatin terhadap isu warga muslim di Palestin, Syria dan Myanmar.
Cuba perhatikan bila mana berlaku kejadian gempa bumi dan kebocoran reaktor nuklear di Fukushima, Jepun, kejadian taufan Katrina, banjir besar dan tanah runtuh di China, bahkan di Indonesia sendiri, adakah kita ambil peduli?
Bila kita tak ambil peduli, tidak pernah pula saya menjumpai gambar seperti gambar di atas dari mereka yang memprovokasi dan mempertikaikan sikap berat sebelah ummah Islam terhadap isu musibah yang melanda mereka.
"Dan janganlah kamu merasa hina, dan jangan merasa sedih sedang kamulah yang paling tinggi sekiranya kamu orang-orang beriman. Jika kamu ditimpa kesakitan, maka (ketahuilah bahawa) mereka juga ditimpa sakit seperti kamu. Demikianlah Kami mempergilirkan hari-hari (turun naik dan suka duka) dalam kalangan manusia. Dan supaya Allah mengetahui (siapa benar-benar) orang-orang beriman dan supaya Dia mengambil para syuhada dari kalangan mereka. Dan Allah tidak suka orang-orang zalim." (Ali Imran : 139-140)
Ikhwah akhawat rahimakumullah, kita ummah Islam yang kuat, tidak perlu memprovokasi orang lain semata-mata untuk mendapatkan simpati.
Semoga Allah mengampunkan dosa kita atas kelalaian kita.
Wallahu'alam.



No comments:
Post a Comment