14 February 2009

Bantah Musawah Anjuran SIS

Alhamdulillah, baru-baru ini saya bersama dengan Ikhwan, Haziq dan Shahreza berkesempatan menghadiri Forum Bicara Addin yang bertajuk Ancaman Liberalisme dan Pluralisme Agama, Kesannya Terhadap Akidah Umat Islam yang dibicarakan oleh dua orang panel iaitu Professor Madya Haji Kamaruddin bin Haji Salleh (Timbalan Ketua pusat Islam UKM) dan Ustaz Haji Zamihan bin Mat Zin (Penolong Pengarah ILIM Bangi) di Kolej Keris Mas, UKM Bangi pada 12 Februari yang lalu.

Para hadirin didedahkan bagaimana fahaman Islam liberal ini menular sedikit demi sedikit, dari semasa ke semasa secara senyap di Malaysia dan bagaimana ancaman ini merbahaya kepada akidah umat Islam di negara kita pada masa akan datang. Antara yang disebut juga adalah penglibatan badan bukan kerajaan dan beberapa yayasan yang bertanggungjawab menyebarkan, menyokong dan membiayai gerakan penyebaran agenda Islam liberal ini dan salah satunya adalah Sisters In Islam (SIS).

Sungguh mengejutkan, dua hari lepas baru sahaja pulang dari forum yang membicarakan ancaman fahaman Islam liberal dan pluralisme agama, semalam saya dikejutkan pula dengan berita penganjuran program Musawah, program yang membawa agenda Islam liberal ke Malaysia dan mempertikaikan prinsip-prinsip asas Islam. Program Musawah ialah 'Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family' yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari ini dan ia merupakan program anjuran pendokong kuat fahaman sesat Islam liberal di Malaysia iaitu SIS sendiri.

Antara tokoh liberal Muslim yang terkenal yang bakal hadir ke Musawah ini antaranya ialah Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain. Tidak ketinggalan, Amina Wadud, seorang Muslimah yang telah menggemparkan dunia Islam pada tahun 2005 yang mengimamkan solat Jumaat yang terdiri sekitar 100 orang jemaah lelaki dan wanita di sebuah gereja katedral di Sundram Tagore Gallery 137 Grene Street, New York juga dijemput dalam program tersebut sebagai penceramah.


Zainah Anwar, Pengarah Eksekutif Sisters In Islam


Amina Wadud yang menggemparkan dunia Islam apabila
mengimamkan solat Jumaat.


Memetik ulasan Yang di-Pertua Persatuan Ulama Malaysia, Dr Wan Salim Wan Mohd Nor yang berkata, "Perjumpaan tertutup ini juga tidak membenarkan penyertaan dari pihak luar selain dari jemputan tertutup mereka. Persatuan Ulama Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) melihat perjumpaan dengan dana besar ini berkemungkinan disokong oleh kepentingan Barat dengan tujuan meliberalkan Islam dan mengharapkan pihak penguatkuasa dapat menyiasat punca sumber-sumber dana membiayai program terbabit."

"Perjumpaan ini juga akan memberi persepsi yang negatif kepada Malaysia yang bakal digambarkan sebagai negara yang mengamalkan undang-undang Syariah yang mendiskriminasi wanita, terutamanya apabila perjumpaan ini bakal dibawa perhatian kepada wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan kehadiran Professor Yakin Erturk (The United Nations Special Rapporteur on Violence Against Women) yang akan merasmikan perjumpaan tersebut," tambahnya lagi dalam suatu wawancara oleh Harakahdaily.

Kita semua mesti sedar betapa besarnya ancaman fahaman Islam liberal ini kepada umat Islam terutamanya di negara kita yang dipelopori oleh liberalis-liberalis SIS. Agenda yang diperjuangkan oleh para liberalis ini antaranya kebebasan mentafsir teks-teks agama termasuklah mentafsir al-Quran dan hadis mengikut perpekstif wanita, kebebasan berfikir dan berpendapat secara mutlak, hak-hak wanita dalam kepimpinan politik dan pentadbiran, dialog dan keterbukaan serta toleransi antara agama, demokrasi beragama, pemisahan antara negara dan agama, pluralisme, kesetaraan gender ataupun jantina dan lain-lain.

Atas nama hak asasi manusia, SIS telah mengeluarkan beberapa 'resolusi' dan memainkan banyak isu secara jelas dan terang-terang menolak syariah Islam misalnya menginterpretasikan semula al-Quran dan hadis dari sudut pandang kaum wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki. Diberitakan mereka sekarang sedang mengusahakan penerbitan tafsir al-Quran versi wanita. Dalam memperjuang hak kesamarataan dalam keluarga, mereka mendakwa si isteri juga mempunyai hak untuk menjatuhkan talak kepada si suami, menolak poligami dan mempersoal ketaatan isteri dalam isu keluar rumah tanpa izin suami. Dalam faraid (pembahagian harta), SIS menuntut wanita berhak mendapat bahagian yang sama rata dalam pembahagian harta iaitu dengan nisbah 1:1 bertentangan dengan ketetapan hukum syarak berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 11 yang bermaksud: "Bahagian seorang anak lelaki seperti dua bahagian perempuan."

Laporan akhbar semalam memetik seorang penyelidik bebas, penulis dan jurulatih advokat hak asasi manusia, Cassandra Balchin yang sudah memeluk Islam, sebagai berkata peraturan wasiat dalam sistem faraid mesti disemak semula. Balchin yang turut menghadiri mesyuarat Musawah mendakwa, sistem faraid sedia ada sudah lapuk kerana diterjemah menurut konteks sejarah, malah mendiskriminasi wanita yang memperoleh pembahagian harta lebih sedikit berbanding lelaki dan sudah tiba masanya mendapatkan kesamaan antara jantina dalam Islam.

Antara topik yang sering dibincangkan juga adalah tentang moral tidak boleh diperundangkan dan dosa-dosa peribadi bukanlah satu jenayah. Sebenarnya, banyak lagi isu sensitif berkaitan agama Islam yang ditimbulkan oleh SIS.


Baginda Rasulullah SAW ada menegaskan dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud:
"Bagi orang yang mempelajari ilmu-ilmu agama, mereka akan berhadapan dengan tiga golongan yang mencabar keilmuan mereka, iaitu golongan yang menyeleweng daripada kebenaran agama Islam lagi melampaui batas-batas agama, golongan yang mencipta agama baru dan golongan yang jahil tentang Islam, tetapi cuba mentafsirkan Islam mengikut kepala mereka."
Jelas daripada apa yang ditegaskan oleh baginda, sesungguhnya bagi mereka yang benar-benar komited dengan Islam, berusaha untuk menyampaikannya kepada orang lain, tetapi pada masa yang sama akan berhadapan dengan golongan-golongan yang disifatkan oleh baginda sebagai anti kepada Islam yang mesti dibendung dengan apa cara sekalipun , lebih-lebih lagi golongan pemerintah. Maka, menjadi kemestian kepada kita semua sebagai seorang Muslim menentang agenda-agenda daripada mana-mana pihak yang jelas menentang syariat Islam.

Dalam hal-hal berkaitan agama umpamanya, seringkali kita membaca di internet pandangan-pandangan mengenai Islam baik yang bersifat objektif mahupun emotif yang dilontarkan samada oleh golongan ilmuwan atau bukan ilmuwan. Fenomena ralat ilmu (error of knowledge) sepertimana yang disebutkan oleh Professor Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism, mudah berlaku apabila masyarakat tidak lagi dapat membezakan antara pandangan golongan ilmuwan dengan bukan ilmuwan, sebaliknya menerima sesuatu pandangan berasaskan retorik dan emosi semata-mata. Faham Islam liberal yang cuba menyamaratakan golongan ulama’ dan bukan ulama’ dalam membahaskan perkara-perkara asas Islam merupakan satu bentuk ralat ilmu yang menjadi cabang utama proses sekularisasi.

Inilah antara faktor umat Islam pada zaman ini mudah dicabar akidahnya. Disebabkan kedangkalan dan kecetekan ilmu, kadang-kadang kita lebih percaya kepada bukan ulama dan yang lebih malang, ada sebahagian daripada kita yang percaya atau merujuk kepada seorang dua ulama sahaja, iaitu individu yang difikirkan sesuai dengan kehendak akal dan hati mereka sahaja.
Oleh sebab itu kita mesti berpegang teguh kepada al-Quran, hadis dan sunnah Rasulullah SAW disamping mempertingkat ilmu dengan berdamping dan banyak belajar daripada alim ulama yang muktabar supaya akidah kita terpelihara baik, tidak terpesong dan tidak mudah diganggu gugat oleh dakyah yang mencabar hakikat tauhid Islam yang sebenar.

Sebagai seorang umat Islam yang prihatin terhadap kedaulatan agama Islam, saya menyeru kepada setiap individu Muslim supaya mengambil berat dan berpendirian tegas terhadap penganjuran program sebegini rupa. Program Musawah ini dihadiri oleh lebih kurang 200 orang liberalis Muslim (secara zahirnya) dari lebih 40 negara dan mereka ini berkumpul di The Prince Hotel, Kuala Lumpur, bermula pada hari semalam bagi menghadiri mesyuarat yang berlangsung selama lima hari tersebut.

Saya menyelar sikap kerajaan yang tidak berpendirian dan membiarkan fahaman songsang ini terus menular dalam masyarakat. Kehadiran pemimpin Muslimah negara yang merasmikan program tersebut, iaitu Penasihat Khas Perdana Menteri, Dato' Seri Shahrizat Abd Jalil, menunjukkan betapa cuainya kerajaan dalam mengurus hal ehwal agama Islam, menunjukkan seolah-olah kerajaan sendiri menyokong agenda pihak yang ingin meruntuhkan syariat Islam. Pihak yang berkenaan juga mesti menyiasat siapakah mereka yang menjadi tulang belakang atau orang kuat yang membiayai gerakan badan-badan bukan kerajaan seperti SIS dalam menyebarkan dakyahnya kepada umat Islam di Malaysia.

Mengapa pihak yang berautoriti dalam hal ehwal agama Islam seperti JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan ataupun Persatuan Ulama Malaysia misalnya tidak dirujuk terlebih dahulu sebelum meluluskan penganjuran program ini? Program Musawah tersebut membincangkan nilai-nilai Islam liberal 'New Muktazilah' oleh ulama gerakan Islam yang merupakan antara bentuk penyamaran baru musuh untuk mengelirukan fikiran umat Islam turut dipromosikan oleh TV3. Sikap kerajaan dan umat Islam yang memandang enteng dan terlepas pandang akan isu-isu sebeginilah yang menjadi duri dalam daging dalam usaha memartabatkan dan memelihara kesucian agama Islam kita.

Betapa kecewanya hati ini bila mana ada pihak yang berlagak sebagai pelindung agama Islam tetapi pada masa yang sama meruntuhkan agama secara tidak sedar yang disebabkan oleh kesilapan sendiri. Adakah disebabkan program ini dianjurkan atas nama hak asasi manusia kita perlu luluskan program ini? Memang kita buta akal kerana tidak memikirkan natijahnya kepada umat Islam nanti.

Kalau kita boleh berdemonstrasi dan bangun lantang bersuara menentang orang yang derhaka kepada sultan, saya juga mahu lihat bagaimana pula reaksi umat Islam negara kita dalam menangani mereka yang derhaka kepada agama Islam. Kita tengok sahaja bagaimana pendirian dan reaksi mereka ini. Jangan hanya pandai berlagak memelihara kedaulatan sultan, isu-isu sensitif yang berkaitan dengan agama Islam seperti ini tidak ambil kisah pula. Inilah silap orang Islam Malaysia, sibuk berpolitik tetapi agama digadaikannya. Na'uzubillah...

Yang menjadi kebimbangan, jika golongan-golongan berkenaan tidak dibendung dengan kadar segera oleh pihak berkuasa terutamanya kerajaan, lambat laun fahaman Islam liberal ini akan merosakkan umat Islam khususnya dalam kalangan golongan remaja yang longgar ikatan dan hubungan mereka dengan Islam, kerana golongan-golongan berkenaan tidak pernah berdiam diri daripada berperanan untuk menyatakan pandangan mereka mengenai Islam mengikut acuan mereka yang tidak selari dengan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Seluruh orang Islam perlu berhati-hati dan mengawasi gagasan Islam liberal ini, kerana cara mereka kadang-kadang sangat halus dan strategik sekali. Secara beransur-ansur dan perlahan-lahan mereka boleh mengeluarkan seorang Muslim dari agamanya di luar keinginan dan kesedarannya. Dia menyangka dirinya seorang pejuang umat dan pembaharu yang unggul, sedangkan dia sebenarnya sedang menjadi tunggangan Barat dalam membinasakan agama Islam di muka bumi Allah ini.

Wallahualam

5 comments:

Anonymous said...

salam~
geleng kepale ngan isu SIS. da bace al islam? keluaran bln feb x silap... confuse ngan SIS, confuse gak ngan al islam.. wallahu'alam..

actually my name is roqaiyah..
u missed my 'h' =)

3rdmarch said...

Kerajaan msia hanya peduli psal org2 y derhaka kat sultan je...xkisah psal org2 derhaka kat Islam ni...
Kat tanah melayu ni kepentingan org melayu kan lebih penting drp kepentingan Islam...sadis tol...
sultan dan agong 2 nama je ketua agama...

Ismi Ali said...

Kepada RoqaiyaH:

wassalamualaik. dlu ana slalu baca al-islam tp skrang dh tak baca. ana nasihatkan, bhati-2lah klu baca al-islam tue. anti tgk la siapa ketua pengarang dia. astora jabat x clap ana. msti anti taw kn sapa dia? melalui al-islam dan utusan malaysia lah astora jabat mnyebarkn ajaran songsangnya. nia la clap kerajaan, tak bpendirian tegas dlm hal2 penerbitan cmni..

Kepada 3rdmarch:

tue la psl, kerajaan hanya taw pduli psl org yg derhaka kpd sultan je. org yg derhaka kpd Allah dan Rasul ada diorg amik kisah, berat?? jarang skali.. org politik yg ckp putar belit ckit dh kne tahan bwh ISA tp org2 islam yg menggugat akidah umat Islam tidak pula ditahan bwh ISA.

ayaharith said...

salam...
astora jabat da lame resign dr jawtn editor al islam, tp x taw la kalo al islam stil dlm pengawasan die..
wallahu'alam

*majalah i tetap di hati...
=)

Ismi Ali said...

emm, dh lm x baca al-islam, tue psl myb ana x taw yg klu ast0ra jabat dh resign..

majalah-i mmg bgus~

psl islam liberal ni, ad kolum khas utk zainah anwar (executive direct0r SIS) dlm paper NST. dlm Sun, bese tiap2 ahad kn ad sisipan dia, ad jgak ruangan tulisan utk sebarkn islam liberal nie..