02 January 2009

Ukhwah fillah abadan abada

Pada 19-21 Disember bersamaan 21-23 Zulhijjah yang lepas, saya telah diberi kelapangan masa dan kesempatan oleh-Nya untuk menyertai Program Jalinan Ukhwah (PJU) di Institut Latihan Dakwah Agama Islam Selangor (ILDAS), Sabak Bernam, Selangor.

 

Turut menyertai ke PJU bersama saya dari Kuala Terengganu ialah adik lelaki saya sendiri, Kamal Hassan dan 2 orang junior saya, Zikrillah dan Anas Imran.

 

PJU kali ke-3 ini dianjurkan oleh Alumni Pelajar Islam Sekolah Berasrama Penuh (APIS) dengan anjuran bersama oleh Yayasan Islam Hadhari, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

 

PJU sebenarnya sebuah program yang bertujuan memupuk kefahaman dan penghayatan terhadap roh ukhwah Islamiah sesama umat Islam. Bersempena berlangsungnya sambutan Maal Hijrah pada baru-baru ini, ukhwah Islamiah inilah yang menjadi antara tunjang terpenting dalam kejayaan hijrah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dari Mekah ke Yathrib (kemudiannya dikenali sebagai Madinah).

 

Kita dapat melihat bagaimana golongan Muhajirin dan Ansar yang pada mulanya tidak mengenali langsung antara satu sama lain tetapi atas nama ukhwah Islamiah dan tauhid yang satu, akhirnya mereka ini  bersatu padu dan saling menolong tanpa mengira rupa, kedudukan dan harta. Hasilnya, kita dapat melihat bagaimana masyarakat Islam yang sebegini rupa berjaya menjadi tunjang disebalik kekuatan kerajaan Islam Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w..

 

Apa yang dapat dilihat dalam peristiwa besar hijrah Nabi s.a.w. juga tidak kurangnya dapat dilihat dalam PJU kali ini. Dapat dirumuskan bahawa majoriti Latihan Dalam Kumpulan (LDK), ceramah-ceramah, forum dan aktiviti lain yang diadakan jelas berobjektifkan memupuk dan menguatkan silaturrahim sesama peserta.

 

Secara jujurnya, saya sangat berasa kagum terhadap gerak kerja APIS yang bersungguh-sungguh, tabah dan kuat bekerja dalam merealisasikan serta menjayakan penganjuran PJU kali ke-3 ini. Tambahan pula sebahagian besar penggerak APIS yang baru meniti usia tahun ke-3 penubuhannya ini sebenarnya adalah golongan remaja yang sebaya dengan saya. Walaupun masih mentah dalam mentadbir sebuah organisasi dan mengadakan sesebuah program pada peringkat kebangsaan, kematangan dan profesionalisme mereka ini serta izin Allah mengatasi segala-galanya. Tahniah kepada APIS!

 

Kepada Jawatankuasa Penggerak PJU, pasukan fasilitator dan peserta-peserta, tahniah dan setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kepada antum semua kerana telah menjayakan PJU dengan jayanya. Syukran kasiran.

 

Sesungguhnya segala apa bentuk ilmu dan pengalaman yang telah diberikan sepanjang berlangsungnya PJU itu, marilah kita sama-sama kutip dan simpan ia seelok-eloknya sebagai bekalan dalam mengharungi kehidupan masa kini yang semakin mencabar khususnya dalam menjalankan tanggungjawab kita sebagai seorang da’i yang mengajak kepada yang ma’aruf dan melarang kepada yang mungkar.



Para peserta, barisan fasilitator dan pasukan pelaksana PJU kali ke-3 dalam sesi 
bergambar pada hari terakhir.



Atas kuasa Allah s.w.t., saya dipertemukan semula dengan rakan seperjuangan 
lama saya, Hannan. Kami pernah bersama-sama di NKI di SBPI Rawang pada 
tahun 2005 dan sekali lagi dapat bertemu di PJU baru-baru ini.



Ahli-ahli kumpulan 1 bersama dengan fasilitatornya, saudara Mujahid dalam
satu aktiviti LDK.



Dari kiri; Aliff, Anas Imran, Zikrillah, Ikhwan (Presiden APIS), Ali dan Kamal.



4 wakil peserta PJU dari Terengganu bersama dengan beberapa peserta dan
fasilitator lain.


Semoga roh ukhwah yang kita bina dan pupuk itu tidak hanya wujud di ILDAS sahaja sebaliknya terus hidup dalam diri masing-masing walaupun PJU sudahpun berakhir.

 

Akhirnya, sekali lagi ingin saya rakamkan penghargaan dan tanda terima kasih kepada antum semua yang telah menjayakan PJU ke-3 ini. Semoga Allah s.w.t. merahmati kita semua dan memberi keizinan kepada APIS untuk mengadakan PJU pada tahun-tahun hadapan. Moga-moga APIS dapat menjadi salah satu organisasi Islam yang berjaya di Malaysia dalam merealisasikan visi dan misinya, insyaAllah.

No comments: