30 January 2009

Pengembaraan Mukmin

Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Ankabut: 20)
Alhamdulillah, pada 16-18 hb. Januari bersamaan 19-21 Muharram 1430 H yang lepas, saya berkesempatan menyertai Program Fly High OZ & NZ '09 yang diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bandar Baru Bangi. Program tersebut dianjurkan oleh INTELEK, sebuah NGO dengan kerjasama oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), iLuvislam.com dan ILIM sendiri.

Program ini merupakan salah satu inisiatif daripada INTELEK untuk memberikan pendedahan penting sebagai bekalan persiapan akhir kepada bakal-bakal pelajar yang akan berangkat ke Australia dan New Zealand pada bulan Februari nanti, terutamanya dalam soal agama. Kebanyakan aktiviti seperti ceramah, forum, LDK dan termasuklah riadah sendiri memberi penekanan penting dalam aspek akidah, ibadah, muamalat dan akhlak. Antara tetamu 'besar' yang memberikan ceramah ialah Ustaz Zamihan dan Ustaz Hasrizal, iaitu blogger 'Saifulislam.com' dan juga seorang penulis novel.

Persiapan ke Luar Negara

Selama 3 hari 2 malam berada di sana, saya merasakan program seumpama ini amatlah berguna dan bermanfaat bagi pelajar-pelajar Islam Malaysia yang bakal berangkat ke luar negara. Kebiasaannya, pelajar-pelajar, baik yang belum berangkat mahupun yang sudah berada di luar negara, mereka pasti akan menemukan banyak permasalahan baru dalam banyak perkara seperti permasalahan agama, perbezaan budaya masyarakat serta cuaca di luar negara dan banyak lagi permasalahan lain.

Sebagai seorang pelajar Muslim, persiapan dari segi ilmu agama mestilah diutamakan dan di program inilah saya mendapati wujudnya peluang untuk mendapatkan sebanyak mungkin ilmu agama dalam mengukuhkan jati diri kita sebagai seorang Muslim, mencari jawapan kepada permasalahan yang biasa dihadapi pelajar Muslim Malaysia di luar negara dalam soal akidah, ibadah dan muamalat dan menyediakan diri sebaik-baiknya dari segi fizikal dan mental sebagai persediaan menghadapi cabaran dan gelora fenomena Islamophobia (irrational fear or prejudice towards Islam and Muslims).

Pengembaraan Mukmin

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sesungguhnya kesempatan belajar di negara asing merupakan salah satu anugerah daripada Allah SWT yang mesti kita semua syukuri dan hargai. Pengalaman berada di luar negara memanglah suatu pengalaman yang amat menyeronokkan dan bermakna dalam hidup kita tapi kita semua mesti ingat, kita mesti tanya diri kita, apakah tujuan dan matlamat kita ke luar negara?

Sahabat-sahabat Muslimin dan Muslimat sekalian,

Jadikanlah peluang belajar di luar negara sebagai pengembaraan yang bermakna dan bermanfaat, bukan hanya untuk diri kita sendiri malah untuk masyarakat, negara dan agama Islam. Janganlah hanya sekadar memenuhi rutin harian kita dengan belajar, janganlah melancong ke tempat-tempat lain sekadar untuk berseronok tanpa mengambil apa-apa pengajaran. Jadikanlah pengembaraan kita sebagai pengembaraan para mukmin, pengembaraan yang melibatkan minda, hati dan perasaan dengan melihat makhluk-makhluk dan kejadian-kejadian ciptaan Allah di muka bumi dan juga di langit.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut, mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. " (Al-Hajj:46)
Allah SWT secara jelas menganjurkan kepada kita, umat Islam supaya mengembara di muka bumi dengan melihat, mengamati dan mengambil pengiktibaran daripada keadaan sekeliling dan tamadun semasa sesebuah masyarakat terutamanya daripada sejarah tamadun-tamadun yang lepas. Sia-sialah pengembaraan kita jikalau pengembaraan kita hanya sekadar dengan melihat tapi tanpa hati, iaitu tanpa merasa kagum terhadap keajaiban dan kekuasaan ciptaan Allah SWT serta tanpa rasa gerun dan takut terhadap bencana dan azab yang telah Allah SWT timpakan kepada umat-umat terdahulu yang ingkar kepada-Nya dan rasul-rasul Allah.

Firman Allah SWT dari surah Yusuf, ayat ke-109, bermaksud:
"Dan tiadalah Kami mengutus Rasul, sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?"
Pengembaraan kita juga adalah untuk menuntut ilmu dan menyebarkan syiar Islam. Dengan pengembaraan seumpama inilah kita dapat meningkat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, insyaAllah.

Jati Diri Sebagai Seorang Pelajar Muslim Sejati

Apabila berada di luar negara, terutamanya di negara Barat, janganlah terkejut jika cabaran hidup di sana lebih besar daripada cabaran hidup di Malaysia bahkan mungkin sangat besar dan tidak pernah dihadapi oleh kita di negara ini sebelum ini. Semua ini berlaku kerana kita tergolong dalam kumpulan minoriti bila mana kita berada di tempat asing. Manakan tidak, di Malaysia, kaum Melayu dan masyakat Islam merupakan kumpulan majoriti. Kita dapat melakukan banyak perkara tanpa susah payah dan hak kita pula dilindungi sebagai hak kaum Bumiputera oleh Perlembagaan Malaysia. Tapi bila berada di luar negara, siapakah kita?

Kita, pelajar-pelajar Malaysia hanyalah suatu kumpulan masyarakat minoriti yang kecil jumlahnya. Sepertimana hukum rimba, maka kumpulan minoritilah yang akan menghadapi cabaran paling besar. Itulah kita.Tambahan pula, masyarakat Islam di negara Barat pada zaman kini hebat diserang dengan sentimen Islamophobia.

Oleh kerana itulah kita mesti menyiapkan diri kita dengan sebaik-baiknya, memenuhkan diri sendiri dengan ilmu yang secukupnya. Pastikan akidah kita kuat, akhlak kita sempurna dan bersedia berhadapan permasalahan dalam soal ibadah, muamalat dan fiqah terutamanya.

Tunjukkanlah akhlak yang mulia, keperibadian yang cantik, budi pekerti dan budi bahasa sopan kepada mereka yang bukan Muslim. Tunjukkanlah contoh terbaik kepada mereka sebagaimana yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan Allah SWT supaya salah faham bukan Islam terhadap orang Islam dapat diketepikan. Ingat, kita bukan hanya menjadi 'duta kecil' negara Malaysia ke luar negara malah kita juga 'duta kecil' dan utusan agama Islam. Melalui ini semua, secara tidak langsung kita telah menjalankan kewajipan menyebarkan syiar Islam dalam masyarakat dan negara. Jika setiap daripada kita kukuh jati dirinya sebagai seorang Muslim, insyaAllah, tidak mustahil kita umat Islam yang kecil dari segi bilangannya dapat menjadi besar dari segi kualitinya.

Selamat Berangkat!

Kepada sahabat-sahabat Muslimin dan Muslimat yang akan berangkat ke luar negara, terutamanya kepada mereka yang akan berangkat ke Australia dan New Zealand pada bulan Februari nanti, tahniah saya ucapkan sekali lagi kerana dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dan selamat berangkat!

Bawalah diri sebaik-baiknya apabila berada di negara orang kelak. Ingatlah tujuan dan matlamat sebenar kita berada di sana. Ingatlah elaun dan biasiswa yang kita peroleh itu bukanlah duit ibu bapa dan kita sendiri semata-mata tapi ia merupakan duit hasil keringat rakyat Malaysia dan duit negara. Jadi, belajarlah bersungguh-sungguh, bawa pulang ijazah dengan keputusan yang cemerlang dan pulanglah bekerja untuk negara kita. Semoga antum semua sentiasa dipayungi rahmat Allah SWT, amin...

Jangan lupa doakanlah juga untuk kejayaan saya dan sahabat yang lain yang sedang menjalani Program Persediaan Kejuruteraan Perancis di MFI uniKL, Bangi ini. Doakanlah semoga kami semua berjaya dengan cemerlang di sini, seterusnya dapat menjejak langkah antum semua melanjutkan pelajaran ke luar negara. Amin...

Ambillah firman Allah di bawah ini sebagai ingatan untuk kita semua.
"Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah." (Ghafir:21)
Wallahualam

No comments: