06 March 2009

Penyambung Warisan

Tatkala menyusuri kembali perjalanan sejarah tanah air tercintaku ini, dari saat lahirnya Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah kepada kewujudan Malaysia pada hari ini, agak sukar untuk menggambarkan perasaan sebenar yang terbuku dalam hati ini. Bercampur baur sekali, bangga ada, sedih pun ada. Semuanya ini bermula di Kem Meru, Klang.

Saya baru sahaja pulang dari menjalani Kursus Kenegaraan di Kem Meru, Klang yang berakhir pada tengah hari semalam. Banyak kenangan manis pahit yang dibawa pulang sama ke Faravila. Sebelum menjejakkan kaki ke sana, banyak perkara terlintas dalam fikiran. Macam-macam persepsi yang kurang baik dibawa bersama sepanjang perjalanan dari MFI ke sana. Tapi semua tanggapan yang kurang baik terhadap kursus tersebut berubah sama sekali setelah saya sendiri yang menjalani kursus tersebut.

Di sana, kami dibawa menyusuri kembali sejarah kewujudan Malaysia yang bermula dari kewujudan Kesultanan Melayu Melaka, diberi penerangan dan kefahaman mendalam tentang Perlembagaan negara kita, kepentingan kesatuan Melayu dan perpaduan antara kepelbagaian kaum di Malaysia, suasana politik semasa, penerapan disiplin dan jati diri sebagai seorang Melayu dan Islam dalam diri masing-masing.

Pahit manis sepanjang berkursus

Memandangkan banyak pengalaman yang telah dapat saya kutip dari kursus tersebut, saya ringkaskan sahaja seperti yang berikut:

1] Daripada keseluruhan peserta kursus seramai 61 orang, 31 orang peserta adalah dari MFI dan selebihnya dari German-Malaysian Institute (GMI) Bangi yang akan berangkat ke Jerman pada minggu hadapan.

2] Saya dipilih oleh sahabat-sahabat untuk menjadi ketua Kumpulan 1. Bangga juga apabila dipilih untuk memimpin kumpulan yang terdiri daripada pelajar-pelajar cemerlang yang bakal ke luar negara, lebih-lebih lagi menjadi pemimpin kumpulan bernombor 1. Kumpulan 1 mestilah sentiasa No. 1. Walaupun perkara ini nampak kecil, walaupun hanya pada peringkat kumpulan, namun bagi saya ia merupakan satu pengiktirafan kepada diri saya dan ia tetap amanah yang perlu dipikul oleh saya sebagai ketua yang telah dilantik.

3] Jurulatih-jurulatih (Pak Mus, Pak Aziz dan Pak Ramli) dan fasilitator-fasilitator memang sporting, kelakar dan memahami jiwa remaja. Hehe.. Mereka tidaklah garang seperti disangka. Walaupun Pak Mus bermisai seperti A Galak namun beliau baik orangnya. Kami dilayan dengan baik dan mesra sekali. Saya cukup terharu dan kagum terhadap barisan jurulatih terutamanya Pak Aziz dan Pak Ramli kerana walaupun mereka ini sudah berusia 60-an, namun mereka masih lagi berkemampuan melakukan kerja-kerja berat. Malah dalam sebahagian perkara, kadang-kadang mereka lebih baik, cekap dan pantas daripada kami yang jauh lebih muda usianya.

4] 'Diserang' pacat semasa melakukan aktiviti kembara. Insiden 'diserang' pacat tidak disedari sehinggalah keesokan paginya barulah saya menyedari rupa-rupanya saya telah 'diserang' pacat di kaki apabila melihat kesan tompokan darah pada stokin.

5] Didenda melakukan push up selepas melanggar peraturan iaitu menuruni tangga ke dewan makan tanpa kebenaran. (Bukan saya seorang bersalah tapi banyak lagi juga yang bersalah. Hehe...)

6] Terlelap semasa menjawab ujian pada hari terakhir kursus. Semua ini angkara nasi lemak yang sambalnya banyak berminyak yang menjadi santapan semasa sarapan pagi itu. Huhu...

7] Pernah ditegur oleh fasilitator kumpulan, Encik Zulkarnain, kerana beberapa kenyataan yang tidak betul faktanya telah diberikan oleh saya. Namun begitu, semangat untuk mengambil bahagian dalam LDK tidak pernah luntur. Hehe...

8] Ditangkap oleh 'polis' dalam salah satu LDK kerana melanggar peraturan tugasan. Diikat tangan dan ditutup mulut. Tapi akhirnya dapat dibebaskan juga, terima kasih kepada kebijaksanaan ahli-ahli kumpulan yang lain kerana dapat survive tanpa ketua yang telah ditangkap. Haha...

9] Pada hari terakhir, semasa majlis penangguhan kursus, barisan jurulatih telah membuat kejutan atau gimik besar kepada peserta-peserta. Pada awalnya mereka membuat helah dengan meminta peserta-peserta yang ada melakukan mana-mana kesalahan sepanjang tempoh kursus mengaku akan kesalahan masing-masing. Auliyana Djafar (ahli kumpulan 1) dan Sabarina telah dipanggil dan diminta mengaku kesalahan masing-masing. Kami semua terutamanya dua orang mangsa keadaan tersebut ketika itu berdebar-debar ingin mengetahui apa sebenarnya kesalahan yang telah dibuat mereka sehinggakan mereka menerima 'surat amaran' daripada Jabatan Perdana Menteri. Keadaan dalam Dewan Wawasan yang mulanya tegang tiba-tiba menjadi ceria dan penuh dengan gelak ketawa. Rupa-rupanya 'surat amaran' yang diberikan itu sebenarnya ialah surat yang mengandungi ucapan daripada barisan jurulatih dan fasilitator sempena hari kelahiran mereka berdua. Mereka dihadiahkan kek hari jadi yang sangat besar dan kami semua menyanyikan lagu 'Selamat Ulangtahun' untuk mereka berdua. Sesungguhnya peristiwa itu sangat menyentuh hati setiap peserta dan pastinya ia menjadi kenangan terindah dbagi Auliyana dan Sabarina.

Mutiara bangsa

Secara jujurnya saya katakan bahawa kursus sebeginilah yang sepatutnya diadakan untuk setiap rakyat Malaysia dan perlu kita semua hadiri terutamanya orang Melayu dan Islam. Banyak manfaatnya yang dapat kita kutip sepanjang menjalani kursus tersebut.

Setelah pulang dari kursus tersebut, pengetahuan dan kesedaran saya tentang sejarah tanah air, bangsa Melayu, perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia, perlembagaan Malaysia dan juga realiti politik semasa negara semakin jelas.

Tanggungjawab membangunkan dan mendaulatkan bangsa, negara dan agama merupakan amanah yang sangat besar dan berat kepada setiap individu yang bergelar warganegara Malaysia terutamanya orang Melayu kerana sebagai penduduk asal Tanah Melayu, semestinyalah kita yang mempertahankan hak-hak kita daripada dipersoal dan dicabar oleh orang lain. Oleh sebab itu pengetahuan dan kefahaman yang jelas tentang soal-soal kenegaraan perlu kita pelajari dan fahami dengan sebaik-baiknya.

Kalaulah kita bangsa Melayu asyik leka dengan keselesaan yang kita nikmati sekarang tanpa berusaha untuk mempertahankannya, tidak mustahil tanah air yang dipimpin oleh orang Melayu sejak dahulu lagi akan dipimpin oleh orang bukan Melayu dan dijajah oleh kuasa asing pada suatu hari nanti. Sedarlah wahai bangsaku...

Jadilah seperti mutiara, walaupun jatuh ke dalam lumpur tapi tetap bersinar setelah dibersihkan. Janganlah jadi seperti kaca, walaupun bersinar tetapi tidak bernilai lagi apabila berkecai dan berderai di jalanan.


Malaysia tanah air tercinta


Pastikan kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini kekal buat selamanya.

Menggamit memori

Terima kasih kepada barisan jurulatih dan fasilitator serta sahabat-sahabat peserta yang lain atas setiap tunjur ajar dan didikan daripada kalian. Sesungguhnya kehidupan kita bersama selama 5 hari 4 malam di Kem Meru hanyalah suatu tempoh yang singkat namun kesannya amatlah mendalam terhadap diri saya. Banyak kenangan pahit manis telah kita lalui bersama dan pastinya kenangan itu akan menggamit memori sebagai kenangan terindah bagi kita semua terutamanya kepada mereka yang akan berangkat ke luar negara kelak.

Semoga kita semua dapat memanfaatkan ilmu yang kita peroleh dalam kursus tersebut dengan sebaiknya. Teruskan perjuangan demi memelihara maruah bangsa Melayu, negara Malaysia tercinta dan agama Islam yang dianuti. Semoga Allah SWT memberkati kita semua, amin.

2 comments:

Anonymous said...

Apa yang penting? Islam, ya. Bangsa, tidak.

Anonymous said...

siapa en zukarnain yang saudara maksudkan? Adakah fasilitator itu seorang yang berasal dari kelantan.