21 March 2009

Penat Pergi Bimbang Datang

Kepenatan dan keletihan baru sahaja berlalu pergi dari diri tapi dalam masa yang sama juga perasaan bimbang dan cuak pula datang berkunjung, mendatangkan 1001 macam rasa tidak selesa. Itulah yang dapat digambarkan tentang situasi yang sedang dialami saya sekarang ini.

Dalam tiga minggu ini, hidup saya agak 'perit'. Aktiviti belajar, makan, tidur, malah bermain pun menjadi tunggang-langgang dibuatnya. Selepas pulang dari Kursus Kenegaraan BTN pada dua minggu lepas, semangat patriotisme dalam diri cukup segar dan membara. Rupa-rupanya, ia belum cukup mujarab dalam memberi suntikan moral dan spiritual secara keseluruhannya kepada saya untuk mengharungi dua minggu yang berikutnya dengan segagahnya. Dalam tempoh dua minggu ini, kami terpaksa menyiapkan pelbagai jenis tugasan, antaranya tugasan elektrik, les devoirs de mathematiques, les devoirs de francais dan assignment pengajian Islam.

Tidak hairanlah kalau dalam masa tempoh masa tersebut kami hanya dapat merasai nikmat tidur selama dua hingga tiga jam sehari ataupun terpaksa mengikat perut tidak mahu keluar makan, semuanya semata-mata kerana mahu menyiapkan setiap tugasan yang telah diberikan. Agaknya, inilah sebahagian daripada banyak ragam dan cabaran yang dilalui oleh pelajar atau mahasiswa di pusat pengajian tinggi. Walaupun mengambil 12 subjek ketika berada di SBP, namun kepayahan di sana tidaklah sebegitu teruk berbanding di peringkat institusi pengajian tinggi. Contohnya di sini, saya dengan lhanya ima subjek pun kadang-kadang keperitannya lagi terasa kuatnya, lebih-lebih lagi dalam semester terakhir ini.

Walauapapun, semua tugasan telah berjaya disiapkan dan final exam pun sudah berakhir. Alhamdulillah, setiap cabaran itu dapat saya lepasi dengan baik tanpa banyak kesulitan. Antara kunci rahsia dalam melepasi segala susah payah semua ini adalah KESABARAN dan KETENANGAN, jangan cepat melatah dan terlalu runsing akan sesuatu. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (Surah Al-Baqarah: 45)
Sesungguhnya hati akan tenang apabila kita selalu ingat kepada Allah SWT. Hati yang tenang inilah dapat memberikan kita kekuatan dan kesabaran dalam melakukan apa jua pekerjaan, samada ibadat khusus atau ibadat umum dan yang ringan atau yang berat. Asas yang terpenting ialah keyakinan kepada Allah SWT. Apabila kita sentiasa ingat akan Allah SWT, nescaya Allah SWT juga akan sentiasa ingat akan kita selalu, baik pada waktu susah mahupun pada waktu senang.

Fasa berpenat-lelah sudah berlalu, sekarang tiba masanya pula fasa yang sangat mendebarkan dan membimbangkan bagi setiap individu daripada kami semua, termasuklah saya juga. Moyenne semester akhir amat penting dalam menentukan hala tuju pendidikan dan kehidupan masa depan. Jika moyenne semester ini melebihi 10. insyaAllah tercapailah hajat dan impian saya, keluarga saya, terutamanya abi dan ummi, dan sahabat -sahabat yang lain untuk melihat saya menjejakkan kaki ke tanah seberang, bumi Perancis. Jika tidak, terkuburlah segala impian indah, bermulalah kehidupan baru yang semestinya sukar untuk dimulakan semula dan dilalui.


Mungkinkah Perancis menjadi destinasi yang seterusnya?

InsyaAllah pada 1 hb. April nanti makluman rasmi tentang pelajar-pelajar yang layak ditaja oleh MARA dan fly ke Perancis akan diberitahu. Buat masa ini, saya berusaha untuk bertenang dengan sebaik mungkin, bertawakkal kepada Allah SWT. Saya telah berusaha sedaya upaya dan memberikan yang terbaik selama hampir 20 bulan saya saya berada di sini. Dapat berangkat atau tidak dapat berangkat, keputusannya terserah kepada pertimbangan dan budi bicara lecturers, pihak administration dan pihak penaja, MARA. Saya bersedia untuk menerima apa-apa sahaja keputusan yang akan diketahui dalam masa seminggu lagi dengan hati yang terbuka. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal." (Surah At-Taubah: 129)
Firman Allah SWT yang lain pula ada menyebut, yang bermaksud:
"... janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf: 87)
Sesungguhnya Allah SWT itu Tuhan yang Maha Adil dan Tuhan yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Semoga keputusan yang dimuktamadkan nanti adalah yang terbaik untuk diri saya dan juga orang lain. Saya hanya berharap dengan sepenuh pengharapan untuk fly, fly dan fly high, berangkat ke luar negara seperti rakan-rakan yang lain.

No comments: