08 March 2009

Cintai Nabi Sempurna Iman



12 Rabiul Awal merupakan hari keputeraan Nabi besar umat Islam, Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada seluruh anbiya dan pembawa rahmat kepada sekalian alam. Sebagai tanda sayang dan cinta kita akan Rasulullah SAW, bersempena kelahiran Nabi besar kita, marilah kita memperbanyakkan salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.



Maksudnya:
"Ya Allah selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Baginda seperti Engkau kurniakan kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Terpuji dan Yang Maha Mulia. Ya Allah, berkatilah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Baginda seperti telah yang Engkau berkati ke atas Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Terpuji dan Yang Maha Mulia".

SEJARAH KELAHIRAN NABI MUHAMMAD SAW

Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa Nabi SAW lahir pada 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan 23 April 571 Masihi. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa Nabi lahir pada 9 Rabiul Awal Tahun Gajah.

Dalam menentukan tarikh kelahiran Rasulullah SAW, ahli-ahli sejarah Islam berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah Rasulullah SAW lahir pada malam Isnin 12 Rabiul Awal Tahun Gajah sebelum Subuh. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham. Pendapat yang kedua ialah pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW memang lahir pada malam Isnin, sebelum Subuh Rabiul Awal Tahun Gajah tapi tarikh sebenarnya ialah pada 9 hari bulan.

Kita, umat Islam di Malaysia kebiasaannya menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal setiap tahun berdasarkan pendapat yang mengatakan tarikh ini yang lebih masyhur.

CINTA KITA VS CINTA RASULULLAH

Di hari kebesaran yang bersejarah ini, marilah kita bermuhasabah kembali, bertanyakan diri sendiri, setahap manakah perasaaan kasih dan cinta kita terhadap Nabi Muhammad SAW yang kita imani selama ini. Melahirkan rasa cinta kita terhadap Nabi SAW bukan sahaja diluahkan melalui kata-kata di bibir sahaja tetapi sebenarnya lebih daripada itu. Ia mestilah juga dizahirkan dengan perbuatan dan amalan berdasarkan keimanan dan cinta yang mendalam terhadap Rasulullah SAW dalam hati kita.

Ingatlah wahai sahabatku sekalian, beriman kepada Nabi juga mesti sampai ke peringkat mencintai baginda, ikut melakukan apa yang Nabi buat, bukan pilih-pilih tetapi segala-galanya mesti diikut kerana segala perbuatan Nabi adalah wahyu daripada Allah. Kita kata kita cintai Nabi tapi setahap mana kita mengamalkan sunnahnya? Setahap mana kita menjadikan al-hadith sebagai panduan dalam hidup? Setahap mana ikutan kita kepada ajaran baginda? Tepuk dada, tanya iman. Buka hati, buka mata, buka telinga.

Kita seringkali mendengar kisah kasih sayang Nabi SAW kepada umatnya namun bagaimana pula kasih sayang kita kepada baginda? Kita balik ke pangkal jalan, tanya diri sendiri. Kalau kita mencintai seseorang, bagaimana kita menunjukkan rasa cinta kita kepada si dia? Bagaimana perasaannya apabila kita mecintai dan dicintai seseorang? Tanyalah kepada mana-mana individu yang pernah atau sedang bercinta, bila bercinta, walaupun berjauhan rasanya dekat, walaupun berat rasanya ringan, sanggup berkorban tenaga, masa dan wang malahan nyawa demi cinta kita kepada si dia.

Oleh sebab itu, dalam hal cinta kita kepada Nabi, kita mesti mengalami keadaan yang sama seperti di atas. Namun, sebelum cinta kepada manusia, Nabi mestilah dicintai dengan sebenar-benarnya terlebih dahulu. Mengapa kita perlu mencintai baginda?

Kerana Nabi terlalu cinta kepada kita. Antara buktinya, sebelum Nabi wafat, antara perkataan akhir yang dilafazkan Nabi ialah “Ummati, ummati, ummati" (umatku, umatku, umatku). Umat Nabi itu ialah kita.

Lagi bukti di Padang Mahsyar. Selepas manusia dibangkitkan di Padang Mahsyar, selepas gagal diberi pertolongan dipercepatkan perbicaraan oleh Nabi Adam AS, Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS, umat manusia berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW lalu memohon pertolongan daripada baginda dengan berkata, "Wahai Nabi Muhammad, engkau adalah Pesuruh Aallah, penutup para Nabi dan Rasul, berilah pertolongan kepada kami agar kami segera dihisab."

Jawab Nabi Muhammad SAW, "Aku akan tolong kamu semua." Rasulullah SAW pun bangun dan menuju ke Arasy. Kemudian Baginda sujud kepada Allah SWT selama seminggu. Allah SWT pun berfirman, "Ya Muhammad, angkatlah kepalamu dan mintalah apa yang engkau mahu minta. Aku akan kabulkan permintaanmu."

Rasulullah SAW menjawab, "Wahai Tuhan, ini umatku, segerakan kiraan dan pengadilan ke atas hamba-hamba-Mu yang telah sekian lama bertahan di Padang Mahsyar dalam keadaan terhina dan terseksa sekali."

Nabi SAW juga pernah menyatakan dalam satu hadis yang bermaksud: “Berbahagialah siapa yang melihatku dan beriman kepadaku.” Kemudian Nabi menyebut tiga kali: “Bahagialah, bahagialah, bahagialah siapa yang tidak melihatku tetapi beriman denganku.”

Orang yang tidak melihat Nabi tetapi beriman kepada Nabi antaranya diri kita yang Nabi puji tiga kali itu.

Kadangkala dalam hidup kita ini, orang tidak cintakan kita pun kita tergila-gila padanya, apatah lagi pada Nabi yang amat mencintai umatnya, cintailah Nabi sepenuh hati.

TUNTUTAN BERSELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD SAW

Antara cara kita menunjukkan tanda cinta kita kepada baginda adalah dengan memperbanyakkan salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi SAW. Selawat ke atas Rasulullah SAW merupakan suatu amalan yang disyariatkan oleh Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." (Surah Al-Ahzab: 56)
Manakala di dalam hadith-hadith Rasulullah SAW, terdapat banyak suruhan dan kelebihan-kelebihan yang dinyatakan berkenaan dengan selawat ke atas baginda SAW, antaranya:

1] Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah SWT akan berselawat ke atasnya sepuluh kali." (Riwayat Imam Muslim daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘Ass RA)

2] Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya manusia yang paling utama denganku pada hari kiamat ialah yang paling banyak berselawat ke atasku." (Riwayat Imam Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud RA)


3] Sabda Rasulullah SAW juga yang bermaksud:
"Barangsesiapa yang berselawat ke atasku sekali nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali." (Riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA)

Dalam hal ini, sebahagian ulama menyatakan ianya WAJIB setiap kali disebut nama Rasulullah SAW dan sebahagian yang lain menyatakan WAJIB sekali di sepanjang majlis meskipun dalam majlis tersebut kerap kali disebut nama Rasulullah SAW dan sebahagian yang lain menyatakan WAJIB memperbanyakkan selawat tanpa terikat dengan bilangan dan tidak memadai sekali seumur hidup. Oleh sebab itulah kita sebaik-baiknya dianjurkan berselawat setiap kali nama Rasulullah SAW disebut dalam mana-mana majlis.

Menurut jumhur ulama dalam masalah ini, selawat ke atas Nabi SAW merupakan ibadat dan jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT, seperti juga zikir, tasbih dan tahmid. Ia diwajibkan sekali seumur hidup dan disunatkan pada setiap waktu dan ketika. Sepatutnya juga ke atas setiap muslim memperbanyakkannya.



Upacara sambutan Maulidur Rasul adalah HARUS selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pembaziran dan tiada aktiviti yang melanggar syariat. Malah jika perisian sambutan itu ada unsur ilmu dan ibadah ia tetap diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.


HUKUM SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

Adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah bid'ah dhalalah dan bertentangan dengan syariat.

Upacara memperingati hari kelahiran RasulullahSAW ini telah dilakukan secara tidak rasmi sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat lagi. Antara pembesar yang menganjurkan sambutan ini ialah Malik Muzhaffar Abu Sa'id penguasa Irbil, Iraq. Dan seterusnya ia terus berkembang sehinggalah sekarang. Antara ulama besar yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul ini adalah harus dan digalakkan ialah:

1] Said Ahmad Zaini Dahlan dalam kitabnya 'Siratun Nabawiyah'. Antara lain beliau menyatakan bahawa, "Masyarakat telah terbiasa berdiri tegak ketika mendengar riwayat kelahiran Rasulullah SAW. Berdiri tegak menghormati kelahiran baginda adalah baik dan cara-cara seperti ini telah ditiru oleh cerdik cendikiawan lainnya."

2] Imam Jalaluddin As-Sayuti lebih jauh menerangkan dalam kitabnya 'Al-Wasail Fi Syarhisy Syamail', menyatakan, "Apabila diadakan peringatan Maulidur Rasul di sebuah rumah, masjid atau tempat lain maka malaikat mengawal dan mengawasi tempat tersebut sampai upacara selesai dan semua hadhirin mendapat rahmat daripada Allah subhanahu wa taala."

3] Ustaz Haji Harun Muhammad Al-Kelantani (1953) dalam kitabnya Senjata Syariat, Pakaian Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan, "Dapat pahala bagi orang yang berdiri yang adalah niat mereka membesarkan Nabi SAW.

Secara logik akalnya, kalaulah benar sambutan Maulidur Rasul ini merupakan suatu bid'ah, sudah pastinya banyak tokoh besar fiqah daripada keempat-empat mazhab iaitu Imam Hanafi, Imam Hanbali, Imam Maliki dan Imam Syafie ada menyatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul ini suatu bid'ah.

Sambutan Maulidur Rasul adalah sambutan untuk mengingatkan kita tentang sejarah hidup Rasulullah SAW, diisi dengan pelbagai aktiviti seperti perarakan, syarahan, forum, marhaban, jamuan dan pelbagai bentuk aktiviti lain semata-mata bertujuan meningkatkan rasa sayang dan cinta kita terhadap Nabi Muhammad SAW.

CINTAI NABI IMAN SEMPURNA

Kita mesti cintai Nabi sebab cinta Nabi tanda sempurna iman kita. Maknanya kalau tidak cinta Nabi tidak sempurnalah iman kita. Sabda Nabi yang bermaksud:
"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih disayangi daripada kamu menyayangi kedua ibu bapamu dan manusia seluruhnya."
Pernah satu hari Saidina Umar RA berkata kepada Nabi: "Aku sayangi diriku, selepas itu baru aku sayang padamu, wahai Rasulullah." Nabi menjawab, "Cintailah aku lebih daripada cinta kepada dirimu, barulah sempurna iman kamu."

Ingatlah jasa besar yang tidak ternilai yang telah diberikan oleh Nabi kita kepada seluruh umat manusia. Nabi SAW-lah yang memperkenalkan siapa Tuhan kita yang sebenar. Nabi berkorban jiwa, masa, tenaga dan harta, isteri baginda menjadi miskin, bergolok-gadai buat modal untuk berdakwah. Baginda berjuang mendidik pelapis agar ada penyambung generasi hingga Islam sampai ke dalam hati kita.

Bersyukur kita kerana kita mendapat nikmat iman dan Islam, sedangkan bapa saudara Nabi, Abu Talib, walau didakwah Nabi SAW dua kali sehari pun tidak menerima Islam. Begitu mahalnya nilai Islam ini.

Ternyata mencintai Nabi SAW bermakna kita mencintai seorang yang agung dan amat mulia. Cuba lihat dunia cinta remaja, kadangkala penuh tragis, ada yang mencintai seseorang sepenuh hati, walaupun si dia nampak ada yang tidak kena, dicintai dan dipercayai juga dengan sepenuh hati, tetapi akhirnya si dia menodai cintanya malah dirinya.

Cintailah Nabi kerana Nabi membimbing kita kepada kebenaran, Nabi huraikan ayat al-Quran agar kita mudah memahaminya, Nabi tidak jemu-jemu memberi nasihat kepada kita agar selamat dan berbahagia dunia dan akhirat.

Semoga kita semua tergolong dalam umat yang mencintai Nabi dan umat yang dicintai Nabi. Oleh kerana kasih sayang dan syafaat bagindalah kita umat Muhammad dimuliakan di dunia dan di akhirat, seterusnya diangkat martabatnya oleh Allah SWT. MasyaAllah, betapa bertuah kita dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Fikir-fikirkan dan selamat beramal!

Sumber dan rujukan:
1] Dewan Ulama PAS
2] Jabatan Mufti Negeri Melaka
3] Jabatan Mufti Negeri Terengganu
4] iLuvIslam.com

1 comment:

Anonymous said...

liya ambik results spm harini jam 11...doakan liya dpt keputusan yg baik&bagus tau meskipun tak cmerlang janji lulus semua subjek dah syukur sgt2..deboo giler nihh..
sakit perut mcm nk g bertanding...
nak ambik rsults cm nk g jumpee perdana menteri...smlam pulak demam..entahlah demam jakit adik..heheheh
debo sgt2...
ikutlaa nk blas mane2 pun...blog pun blh,fp pun blh..
salam alaik