07 May 2011

Soalan: Antara Syirik dan Riak

Bismillahirrahmanirrahim.

Dalam komentar susulan tulisan "Bijak dalam Berinfak" yang lalu, ada seorang hamba Allah telah menanyakan suatu soalan kepada saya tentang apa yang telah saya utarakan mengenai kata-kata Fudhail bin Iyad yang berbunyi, "Meninggalkan amal kerana manusia adalah riak, dan beramal kerana manusia adalah syirik."

Soalannnya:
salam wbt..

afwan tapi ade satu pertanyaan..bagaimana yg dimaksudkan dgn meninggalkan amal kerana manusia adalah riak??boleh jelaskan?? macam mana kalo kita contohnya bermalam dirumah kawan lepas tu membaca al-quran selepas solat tidak byk helaian nya seperti kita di rumah sendiri kerana risau boleh menimbulkan rasa bangga dan risau itu akan menimbulkan pujian d rakan2..kerana pujian mampu membuat seseorg riak dan jwpnnya pasti amalan sia2..aasif jiddan jika panjang pula pertanyaan..jazakallahu khoir..

yg ingin tahu,
dr bumi sebelah.

Ulang kembali

Berkenaan penulisan "Bijak dalam Berinfak", ingin saya tegaskan kembali bahawa pada prinsipnya, saya menghormati hak sesiapapun yang ingin berinfak, tidak kira berapapun jumlah atau bentuknya. Cuma dalam ulasan saya tersebut, saya hanyalah mahu mengingatkan diri saya dan saudara/saudari supaya juga mengambil berat terhadap fiqh awlawiyyat dalam memberi keutamaan untuk berinfak.

Riak dan syirik

Secara asasnya, kita mengetahui perkataan "riak" itu membawa maksud menunjuk-nunjuk untuk mendapat pujian dan penghormatan, manakala apa yang dimaksudkan oleh "syirik" adalah menyekutukan Allah dalam apa jua bentuk dengan menjadikan sesuatu yang lain sebagai sekutu bagi-Nya.

Dan merujuk kepada ingatan yang diungkapkan oleh Fudhail bin Iyadh, "Meninggalkan amal kerana manusia adalah riak, dan beramal kerana manusia adalah syirik", ia menggambarkan bahawa sesuatu perbuatan dipanggil riak kerana seseorang meninggalkan amalan kerana manusia dan syirik pula kerana dia melakukannya kerana manusia.

Maksudnya, kita perlu melakukan atau meninggalkan sesuatu perbuatan secara ikhlas semata-mata kerana Allah, bukannya kerana selain daripada itu. Jika sebaliknya, maka kita melakukan salah satu daripada dua perkara keji - riak atau syirik.

Paksaan suatu bentuk pentarbiyahan hati

Dalam contoh kes yang diberikan oleh pembaca di atas, bagaimana pula sekiranya kita meninggalkan sesuatu ibadah kerana bimbang dikatakan riak oleh orang di sekeliling? Adakah ia juga dikatakan sebagai perbuatan riak?

Berdasarkan fikrah saya, dalam mentarbiyah hati berdasarkan kata-kata Fudhail bin Iyadh tersebut, saya menganggap ia termasuk dalam perbuatan riak. Seperti yang saya sebutkan di atas, bagi saya, kata-kata Fudhail bin Iyadh itu sangat terkesan dalam kaedah mendidik hati manusia dalam mengerjakan sesuatu pekerjaan supaya manusia sentiasa fokus terhadap niat beribadah semata-mata kerana Allah.

Saya menyedari dan mengakui bahawa perbuatan meninggalkan sesuatu pekerjaan kerana bimbang dianggap riak, selalu sahaja dilakukan oleh kita. Tetapi pada saya, selamanya ia tidak boleh berterusan sebegitu rupa. Apabila mengerjakan sesuatu yang dimulakan kerana Allah, maka teruskanlah menunaikan pekerjaan tersebut, dengan senantiasa memfokuskan niat kerana Allah. Isu ingin menunjuk-nunjuk dan membangga-banggakan diri, tolaklah ia ketepi dahulu. Kita harus mengingatkan diri sendiri, memaksa hati agar ikhlas dalam beramal.

Disamping itu, suatu perkara yang harus kita ingat, sesuatu amal yang memang pada keseluruhannya dicemari dengan perasaan riak, maka rosak dan sia-sialah amalan tersebut secara jelas. Rasulullah pernah mengumpamakan bahawa amalan yang tidak ikhlas akan membatalkan kualiti perbuatan itu seumpama api yang memakan kayu api, tiada yang tinggal, melainkan bara api dan debu-debu. Namun demikian, sesuatu amal yang memang pada asalnya kerana Allah, maka harus diteruskan jua biarpun perasaan bimbang dikatakan syirik atau riak hadir ketika beramal kerana permainan hati sebegitu merupakan gangguan biasa daripada syaitan dan ia memang selalu ada di sisi. Niat dan fokus harus diperkuat, agar hampir kepada kekhusyukan.

Mengambil contoh ikhwah/akhawat yang berada dalam sistem tarbiyah di luar negara, mereka ditarbiyah supaya membiasakan diri membaca Al-Quran di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Membaca Al-Quran di dalam bas, kereta api atau kapal terbang atau di mana-mana sahaja, sepertinya sudah menjadi kebiasaannya. Tetapi apabila pulang ke Malaysia, membaca Al-Quran di tempat awam ataupun di dalam pengangkutan awam, ia menjadi suatu keganjilan dalam budaya hidup masyarakat Malaysia. Apabila berada dalam situasi di mana mereka dianggap sebagai ghuraba' (orang asing) kerana melakukan sesuatu yang berlawanan dengan kebiasaan cara hidup manusia setempat, ia membuatkan mereka dalam dilema, sama ada meneruskan atau meninggalkan perbuatan tersebut. Alhamdulillah, saya senang hati akhirnya sebahagian besar daripada mereka berani membaca Al-Quran di khalayak ramai.

Biarpun orang sekeliling mengatakan mereka ingin menunjuk-nunjuk atau diri sendiri risau dicop sebagai riak, namun mereka mesti meneruskan amalan baik tersebut. Keutamaan mereka adalah memperbanyak amal dan menyempurnakan mutabaah amal. Perasaan riak atau syirik itu, haruslah ditentang secara kuat dan terus-menerus. Walaupun ia seolah-olah suatu bentuk paksaan, tetapi paksaan itulah sendiri merupakan salah satu cara tarbiyah. Mentarbiyah diri supaya beriltilzam kepada mutabaah amal dan mentarbiyah hati supaya beramal semata-mata kerana Allah.

Kembali kepada niat asal

Akhirnya, apa yang ingin saya tegaskan, perkara yang sepatutnya dilakukan adalah meninggalkan riak atau syirik, bukannya meninggalkan amalan. Apa yang penting adalah mendahulukan niat kerana Allah dan mengharapkan keredhaan-Nya. Dan berusahalah membuang perasaan riak agar tidak bercampur aduk antara keredhaan Allah dan manusia. Letakkanlah hadis satu sebagai panduan sebelum kita beramal.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Wallahu'alam.

No comments: