22 May 2010

Memahami dengan Hati

وَكَذَٲلِكَ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ قُرۡءَانًا عَرَبِيًّ۬ا لِّتُنذِرَ أُمَّ ٱلۡقُرَىٰ وَمَنۡ حَوۡلَهَا وَتُنذِرَ يَوۡمَ ٱلۡجَمۡعِ لَا رَيۡبَ فِيهِ‌ۚ فَرِيقٌ۬ فِى ٱلۡجَنَّةِ وَفَرِيقٌ۬ فِى ٱلسَّعِيرِ
Maksud: "Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada penduduk "Ummulqura" dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) yang tidak ada syak tentang masa datangnya. Pada hari itu sepuak masuk syurga dan sepuak lagi masuk neraka." (Asy-Syura, 42: 7)
Apa yang kubicarakan bukanlah kerana mengharapkan kalian patuh kepada apa yang aku katakan, jauh sekali mengharapkan kalian mengangkat darjatku dalam kalangan manusia. Sebagaimana firman Allah di atas, aku tampil berkata-kata di sini adalah semata-mata kerana aku seorang muslim, diamanahkan untuk menyampaikan apa yang diwahyukan oleh Allah seperti mana yang terkandung di dalam al-Quran, dan juga meneruskan pekerjaan utama para nabi, iaitu menyampaikan kebenaran dan amaran kepada seluruh ummah manusia, termasuklah ajaran Nabi Muhammad s.a.w. melalui sunnah baginda.

Sesungguhnya hari kiamat itu pasti dan akhirat itu juga pasti. Manusia yang mendapat redha Allah, maka syurgalah sebaik-baik tempat baginya, manakala manusia yang mendapat murka Allah, maka nerakalah tempat tinggal baginya untuk selama-lamanya. Kerana itulah menjadi kewajipan bagi setiap manusia untuk mengingati saudaranya yang lain supaya takutkan murka Allah, dan tariklah ia kepada redha Allah supaya di negeri akhirat kelak, syurgalah rumah abadi baginya.

Penolong-penolong agama di muka bumi ini, semenjak dari saat penciptaan Adam dan Hawa hinggalah ke saat ini, seruan mereka tidak lain tidak bukan hanyalah sekadar dapat mengetuk pintu-pintu hati manusia kerana sesungguhnya hidayah itu datangnya daripada Allah. Hanya Allah sahajalah Maha Kuasa, Dia-lah yang berhak memberi atau menarik hidayah daripada seseorang hamba-Nya. Tetapi kita juga mesti jelas bahawa diterima atau ditolaknya hidayah bergantung juga kepada kehendak manusia itu sendiri, sama ada ia sudi membuka pintu hatinya menyambut hidayah, ataupun terus berdegil menutup pintu hatinya daripada menerima hidayah. Hati itu ibarat pintu rumah. Jika dibuka pintunya, maka teranglah isi rumah dengan sinaran mentari. Jika ditutupnya pula pintu, maka gelap-gelitalah rumah dan seisinya.

Firman Allah:
فَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يَهۡدِيَهُ ۥ يَشۡرَحۡ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ
Maksud: "Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya, nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam." (Surah Al-An’am 6: 125)

Bukakanlah pintu hati kalian dengan seluas-luasnya, carilah petunjuk daripada Tuhan kalian, dan jangan pula sesekali berhenti mengharapkan hidayah daripada-Nya. Nabi s.a.w. pernah bersabda, "Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Allah akan memberikannya kefahaman dalam Ad-Din." Untuk dikurniakan hidayah, kita sebagai seorang hambalah yang mesti memulakan langkah terlebih dahulu, bukannya hanya menunggu hidayah datang tanpa berusaha mencarinya, tidak ubah seperti mengharapkan bulan jatuh ke riba.

Dalam soal memahami Islam pula, fahamilah ia dengan hati, bukannya dengan 'otak' semata-mata, kerana pada hakikatnya hatilah yang sebenarnya menentukan kefahaman seseorang. Nabi s.a.w. bersabda, “Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

(Gambar hiasan semata-mata - BatDesignz)

Orang yang membaca buku tentang perubatan ataupun kejuruteraan, mereka memahaminya dengan akal. Orang yang membaca novel, mereka akan memahami jalan ceritanya dengan hati, termasuklah cuba menggambarkannya dengan membayangkan mereka sendiri yang berada dalam cerita tersebut. Orang juga boleh menjadi sedih atau gembira apabila menonton filem-filem romantik tetapi filem-filem berbentuk dokumentari, belum tentu orang akan tersentuh hatinya. Pendek kata, inilah dikatakan penghayatan melalui hati. Di situlah terletaknya fungsi hati yang sebenar - memahami ayat-ayat Allah dan menentukan siapa diri kita yang sebenar. Jangan pula kita tergolong dalam golongan yang tidak menggunakan hati untuk memahami wahyu Allah dan seruan para nabi, kerana golongan semacam rupa inilah golongan manusia yang lebih hina daripada haiwan, sebagaimana firman Allah:
وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ ڪَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ‌ۖ لَهُمۡ قُلُوبٌ۬ لَّا يَفۡقَهُونَ بِہَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٌ۬ لَّا يُبۡصِرُونَ بِہَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٌ۬ لَّا يَسۡمَعُونَ بِہَآ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ
Maksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami dengannya ayat-ayat Allah, dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya bukti keesaan Allah dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya ajaran dan nasihat. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Al-A'raf, 7: 179)
Maka, kembalikanlah hati ke tempat asal dengan fungsinya yang sebenar.

Untuk berubah menjadi lebih baik, janganlah kalian takut atau malu-malu kucing untuk melakukannya. Sekali hidayah ditepis keluar, entah bila lagi agaknya hidayah itu akan kembali datang. Maka berebutlah dalam menyambut hidayah. Jika memperolehinya, maka genggamlah ia erat-erat. Yakinlah bahawa orang yang jahat takkan selama-lamanya jahat dan orang yang baik takkan selama-lamanya baik juga. Sesiapapun boleh berubah menjadi lebih baik atau lebih teruk. Baik buruk diri kalian, kalianlah yang menentukannya!

Firman Allah:
وَإِذَا جَآءَكَ ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِـَٔايَـٰتِنَا فَقُلۡ سَلَـٰمٌ عَلَيۡكُمۡ‌ۖ كَتَبَ رَبُّكُمۡ عَلَىٰ نَفۡسِهِ ٱلرَّحۡمَةَ‌ۖ أَنَّهُ ۥ مَنۡ عَمِلَ مِنكُمۡ سُوٓءَۢا بِجَهَـٰلَةٍ۬ ثُمَّ تَابَ مِنۢ بَعۡدِهِۦ وَأَصۡلَحَ فَأَنَّهُ ۥ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬
Maksud: "Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diri-Nya untuk memberi rahmat yang melimpah-limpah, iaitu barangsiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian dia bertaubat sesudah itu dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-An'am, 6: 54)
Kembalilah ke pangkuan asal kejadian kita sebagaimana yang dikehendaki Allah, Tuhan Maha Memiliki segala apa yang ada di bumi dan di langit. Dihidupkan oleh Allah, kembali kita juga kepada Allah. Berlarilah kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat mencintai hamba-Nya yang mencari-Nya. Selangkah kita rapat kepada-Nya, seribu langkah Dia rapat kepada kita.



Bukakanlah pintu hati kalian.

1 comment:

Anonymous said...

sy sngt suka post ini.terima kasih..