29 May 2010

Ini Sejarah Kita - Siri 1

MUKADIMAH

Firman Allah s.w.t:
وَكُلاًّ۬ نَّقُصُّ عَلَيۡكَ مِنۡ أَنۢبَآءِ ٱلرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِۦ فُؤَادَكَ‌ۚ وَجَآءَكَ فِى هَـٰذِهِ ٱلۡحَقُّ وَمَوۡعِظَةٌ۬ وَذِكۡرَىٰ لِلۡمُؤۡمِنِينَ

Maksud: "Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman." (Surah Hud, 11 : 120)
Dalam konteks memahami Islam, sejarah adalah merupakan suatu yang sangat penting untuk difahami dan dihayati secara mendalam, lebih-lebih lagi bagi kita umat Islam dalam menyusur kembali sirah Islamiyyah. Dr. Said Ramadhan al-Buti menegaskan bahawa tujuan memahami sejarah ialah agar setiap muslim memperolehi gambaran sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna. Analis terhadap sejarah membolehkan kita mengenal pasti di mana titik kekuatan dan titik kelemahan sesebuah tamadun manusia yang wujud pada masa lepas. Sejarah juga mengajar kita supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh bangsa manusia terdahulu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w., baginda bersabda:
"Seorang mukmin tidak boleh dua kali jatuh dalam lubang yang sama." (Hadis riwayat Muslim)
Memetik kembali kata Imam Abu Al-Qasim Al-Junaid yang berbunyi, "Sejarah merupakan salah satu tentera Allah yang akan menguatkan hati", suka ingin aku ingatkan kalian kembali betapa pentingnya memahami dengan hati. Melihat sejarah dengan otak, tidak banyak manfaat yang akan kita boleh perolehi tetapi jika sejarah dilihat dengan mata hati, insyaAllah, kesedaran yang akan kalian dapat bukan sahaja dapat menambah baik persepsi dan cara pemikiran, malah ia akan membawa diri kalian untuk sama-sama berubah ke arah yang lebih baik melalui amal perbuatan. Kita bukan sahaja hanya mahu hebat dalam merangka planning, malah menjadi kemestian kita untuk menzahirkan action plan. Bak pepatah Inggeris, "action speaks louder than words."

CERITA PASCA 1924

Bagi Ini Sejarah Kita - Siri 1 ini, aku mulakan dengan perbincangan mengenai realiti umat Islam pada hari ini terlebih dahulu. Sebagai 'hidangan pembuka selera', mari kita sama-sama tonton video berikut.



Apakah perasaan dan reaksi kalian setelah menonton video di atas?

Bayangkan ayah dan ibu, ataupun kalian sendiri yang dipukul atau mungkin dibunuh seperti mana dipaparkan dalam video tersebut, apakah perasaan kalian?

Bayangkan Malaysia diserang dan penduduk Malaysia dilayan serta ditindas sebegitu rupa, apakah reaksi kalian?

Aku pasti, kalian pasti berasa sedih dan marah. Lainlah kalau kalian jenis manusia yang tidak berperasaan dan keras hati.

UMAT ISLAM ITU BERSAUDARA

Jika diamati betul-betul, video yang kalian tonton sebentar tadi sebenarnya ialah paparan nasib yang telah dihadapi oleh umat Islam di seluruh dunia sejak jatuhnya pemerintahan khilafah Uthmaniyyah di Turki pada 1924. Semuanya ialah REALITI, bukannya fantasi!

Daripada segi warna kulit, paras rupa dan geografinya, kita dan mereka dalam paparan tersebut mungkin berbeza. Tapi apa yang menjadi persamaan antara kita dan mereka adalah kita semua sama-sama MUSLIM, melafazkan kalimah syahadah yang sama, bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu rasul Allah. Titik persamaan tersebutlah yang mewujudkan antara seseorang muslim dengan muslim lainnya suatu ikatan PERSAUDARAAN. Persaudaraan yang dimaksudkan bukanlah didirikan atas dasar jenis darah, keturunan mahupun bangsa, tetapi sebaliknya atas dasar ikatan tauhid yang satu. Malah, kita semuanya juga berasal daripada bapa dan ibu yang sama, iaitulah Nabi Adam a.s. dan Hawa.

Firman Allah s.w.t.:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬
Maksud: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara..." (Al-Hujurat, 49: 10)
Secara teorinya, mungkin kalian dapat menerima kenyataan bahawa muslim itu sebenarnya bersaudara. Tetapi secara praktikalnya, tidak banyak antara kita yang betul-betul dapat menterjemahkan apa yang telah difirmankan Allah s.w.t. tadi dalam realiti kehidupan kita. Jika kita benar-benar mengakui bahawa umat Islam itu bersaudara, maka bagi setiap manusia di atas muka bumi ini, selagi mereka ialah muslim, layanilah mereka sepertimana kita melayani ahli keluarga dan saudara-mara kita. Seperti mana kalian bergembira terhadap kebaikan ahli keluarga kalian, seperti itu jugalah kalian harus bergembira terhadap kebaikan saudara-saudara muslim yang lain. Seperti mana kalian bersedih terhadap keburukan ahli keluarga kalian, seperti itu jugalah kalian harus bersedih terhadap keburukan saudara-saudara muslim yang lain.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Umat Islam adalah ibarat satu tubuh. Jika sebahagian tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh akan merasakan sakitnya dan tidak boleh tidur malam."
Dalam hadis lain, baginda juga ada menyebut:
"Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya."
Wahai manusia sekalian, sesungguhnya tidaklah cukup dengan sekadar kita bersedih terhadap tragedi yang menimpa ke atas umat Islam pada hari ini. Hatta titisan air mata yang kalian curahkan kerana sedih mengenangkan nasib umat Islam akhir zaman inipun masih belum tentu ada nilainya. Air mata, menjadi sekadar air yang keluar dari mata. Nilainya mungkin lebih kurang sama seperti nilai titisan air mata yang terkeluar semasa menghiris bawang ataupun menguap kemengantukan.

Wahai muslimin sekalian, kalian MESTI BERTINDAK! Air mata yang diiringi tindakan, itulah bukti sebenar kita sayangkan saudara seagama kita. Jika tidak, di manakah kita meletakkan letak ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. yang menekankan tentang tanggungjawab persaudaraan Islam?

Umat Islam yang tertindas, mereka itulah saudara kita. Jika ia disakiti dan dianiaya menjadi tanggungjawab umat Islam untuk merawat, menghilangkan sebab-sebab yang menimbulkan kesakitan tersebut dan menghapuskan penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan ke atas dirinya. Kita harus menjadi individu pertama menghulurkan bantuan, bukannya mengharapkan orang lain. Kalau bukan kita, siapa lagi?

SALAH KITA

Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang tidur tanpa peduli terhadap permasalahan kaum muslimin, maka ia tidak termasuk golongan mereka."
Nah, jika kalian tidak mengambil peduli akan nasib umat Islam sedunia, usahlah mengaku bahawa kalian adalah sebahagian daripada umat Muhammad. Manusia yang pentingkan diri sendiri, Nabi Muhammad s.a.w. sendiri tidak akan mengiktirafnya sebagai umat baginda.

Pentingkan diri sendiri, itulah penyakit utama dalam perpaduan umat Islam hari ini. Pentingkan diri di sini bukanlah semata-mata dalam konteks individual tetapi juga mencakupi isu jemaah, kepartian, bangsa dan juga negara. Inilah yang dikatakan "'assabiyah". 'Assabiyah yang kita ketahui dahulunya adalah fanatik atau taksub kepada kaum dan bangsa. Tapi pada zaman sekarang, penyakit 'assabiyah secara terus-menerus merebak di mana-mana struktur kumpulan manusia di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara Islam. Perjuangan berasaskan semangat nasionalisme, kebangsaan, kepartian atau jemaah mengatasi perjuangan umat Islam sedunia.

Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (panji kebutaan) dan menyeru kepada 'assabiyyah atau marah kerana 'asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah." (Hadis riwayat Muslim)
Aku ambil contoh terdekat dengan umat Islam Malaysia. Di Malaysia, siapakah antara kita yang ada melayan saudara seagama dari Indonesia seperti mana kita melayan ahli keluarga dan teman rapat kita? Saudara seagama kita yang berasal dari Myanmar, Thailand, Filipina, Bangladesh, Sri Lanka ataupun Pakistan yang bekerja sebagai buruh, penjual karpet ataupun pelayan di restoran mamak dan sebagainya, bagaimana pula persepsi dan layanan kita kepada mereka?

SALAH kita kerana mewujudkan jurang perbezaan antara kita, umat Islam Melayu dan mereka. Kita meletakkan mereka sebagai masyarakat kelas kedua dan mengangkat diri sendiri, seolah-olah kita lebih mulia daripada mereka.

Saudara kita yang bangsanya bukan Melayu tetapi beragama Islam, bagaimana pula layanan kita terhadap mereka?

SALAH kita kerana memejam mata buat-buat tidak tahu akan kehadiran mereka dalam masyarakat kita. Kita meminggirkan mereka, padahal mereka juga beragama Islam. Kerana salah kita, mereka yang baru memeluk Islam kembali kepada agama anutan asal. Itulah yang banyak terjadi dalam masyarakat Islam Malaysia kebelakangan ini.

Sumber: photosbypritam

Tanyalah diri masing-masing, siapakah mereka kepada kita? Di manakah kita meletakkan hak mereka sebagai seorang muslim?

Firman Allah s.w.t.:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٌ۬ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرً۬ا مِّنۡہُمۡ وَلَا نِسَآءٌ۬ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرً۬ا مِّنۡہُنَّ‌ۖ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَـٰبِ‌ۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَـٰنِ‌ۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Maksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, kerana boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, kerana boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruknya panggilan adalah panggilan yang buruk sesudah dia beriman. Dan, barangsiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang-orang yang zalim." (Al-Hujurat, 9 : 11)
Sikap pentingkan diri ataupun 'assabiyah, itulah penyakit barah paling teruk dan berbahaya bagi persaudaraan umat Islam sedunia. Nasib saudara seagama di negara sendiripun kita terlepas pandang, entah bagaimana pula dengan nasib umat Islam di luar negara sana.

Firman Allah s.w.t.:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬

Maksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya." (Al-Hujurat, 49 : 13)
"Orang-orang Islam, mereka itu BERSAUDARA"

3 comments:

Nadhirah Ahmad said...

dah g isk ke?

IM said...

dah pegi dah. kenapa?

Anonymous said...

Awesome posting. Benar-benar menikmati membaca posting blog Anda..