15 May 2010

Mati Hidup Kembali

Kalian pernah mendengar cerita-cerita tentang orang yang mati hidup semula? Pada zaman sekarang, adakah kejadian sebegitu rupa boleh terjadi?

Andai kata kalian ditakdirkan untuk mati, kemudian hidup kembali ataz izin Allah. Apa reaksi kalian?

Andai kata pula kalian pernah mengalami peristiwa yang mana kalian nyaris-nyaris meninggal dunia, apakah perasaan kalian apabila 'terlepas' daripada kematian?

Ada orang yang sebelumnya pernah nyaris mati, kemudiannya insaf kerana kerana takutkan mati. Ada juga orang yang sebelumnya nyaris mati, tetapi kemudiannya masih tidak berubah, masih dengan perangai lama, seolah-olah tragedi hampirnya kepada kematian tersebut tidak membuatkan dia berfikir atau bermuhasabah terhadap perjalanan hidupnya pada masa dahulu atau pada akan datang.

Ingatlah, sesungguhnya kematian itu adalah suatu perkara yang PASTI.

Firman Allah:
كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ وَنَبۡلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلۡخَيۡرِ فِتۡنَةً۬‌ۖ وَإِلَيۡنَا تُرۡجَعُونَ
"Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan." (Al-Anbiya', 35 : 21)

"Insaflah wahai manusia, bahawasanya mati ini adalah benar, soalan malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar. Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur."
Aku yakin semua orang mengakui bahawa kematian itu pasti. Persoalannya, adakah masing-masing bersedia jika nyawanya ditakdirkan ditarik oleh malaikat Izrail kelak? Adakah kalian yakin bahawa bekalan yang kalian kumpulkan di dunia ini dapat melayakkan kalian menjadi penghuni syurga Allah di akhirat kelak?

Abu Hamid Allafaf pernah berkata, "Siapa yang sering ingat mati, maka dimuliakan dengan tiga macam iaitu segera bertaubat, terima terhadap rezeki (tidak tamak) atau qanaah dan tangkas beribadat." (Kitab Tanbihul Ghafilin)

Renungilah perjalanan hidup masing-masing. Dikurniakan umur yang panjang di dunia, itulah antara kurniaan terbesar daripada-Nya. Janganlah pula kita dustakan nikmat Allah tersebut. Hargailah setiap saat yang kalian kecapi di atas muka bumi ini. Bersedialah menghadapi kematian yang pasti itu.

"Janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam."

No comments: