18 September 2011

Muhasabah Ramadhan

Subhanallah walhamdulillah wallahu akbar.

Dalam kesempatan di hujung bulan Syawal ini, saya mengharapkan masih tidak terlewat bagi saya untuk mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada saudara/saudari dan memohon maaf atas segala salah silap dan kekurangan dari pihak saya. Dalam masa sama, saya mengharapkan ibadah puasa wajib dan amalan lain kita semua sepanjang bulan Ramadhan yang lepas akan diterima oleh Allah s.w.t.. Taqabbalallahu minna waminkum, amin.

Belum lagi kemenangan hakiki

Kali ini, suka saya ingin mengingatkan kita semua bahawa hari raya Aidilfitri yang kita sambut hanyalah merupakan satu anugerah daripada Allah kepada kita sebagai suatu hari bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang dalamnya kita melaksanakan kewajipan berpuasa dan memperbanyak amal ibadah selama sebulan. Tidak lebih dari itu. Bahkan kita mesti ingat, hari raya Aidilfitri bukanlah hari kemenangan yang hakiki bagi kita kerana segala amalan kita sebelumnya dalam bulan Ramadhan belum tentu lagi diterima oleh Allah s.w.t.. Kerana itu kita harus sentiasa beristighfar, takut dan mengharap. Takut sama ada amal ibadah sepanjang bulan Ramadhan kali ini diterima atau tidak, dan berharap sama ada akan dipertemukan dengan bulan Ramadhan sekali lagi atau tidak. Bukan kita yang meninggalkan bulan Ramadhan tetapi bulan Ramadhanlah yang sebenarnya meninggalkan kita.

Dan hari raya Aidilfitri mungkin ialah hadiah kemenangan kepada orang-orang Islam dalam perjuangan mengekang hawa nafsu dalam bulan Ramadhan, tetapi ia bukanlah jaminan bagi kita untuk mampu mengulang kembali rekod cemerlang iman dan amal dalam bulan Ramadhan dalam bulan-bulan yang lainnya. Maka, hari raya Aidilfitri tidak sepatutnya disambut bagaikan menyambut hari kemenangan mutlak kita, sedangkan kemenangan mutlak sebenarnya adalah pada hari kelak akhirat kelak, bila mana kita dibalas dengan syurga atas rahmat dan kasih sayang-Nya. Subhanallah.

Tarbiyah kita berjalan sepanjang hayat

Sebagaimana kehidupan di institusi-institusi pendidikan dikatakan sebagai persiapan untuk menghadapi realiti sebenar dalam alam kehidupan, maka begitu juga dengan bekalan iman dan amal kita dalam bulan Ramadhan, bulan yang dilaung-laungkan sebagai bulan madrasah tarbiyah. Amal-amal seperti berpuasa, banyak membaca dan memahami Al-Quran, mendirikan solat sunat dan ibadah malam, bersedekah dan yang lainnya, haruslah kita teruskan momentum amalan tersebut dalam bulan-bulan yang lain.

Antara tanda diterima amal kita dalam bulan Ramadhan adalah kita mampu untuk melaksanakan amal-amal yang sama dalam bulan-bulan yang lain. Dalam bulan Ramadhan, semua orang Islam di sekeliling kita berpuasa, bertadarus, menunaikan solat sunat tarawih, melaksanakan ibadah malam atau bersedekah, maka dalam keadaan itu tidak sukar bagi kita untuk melakukan perkara yang sama kerana hampir semua orang dalam mood kuat beribadah. Tapi di luar bulan Ramadhan, kita akan dapati bahawa suasananya akan berubah sama sekali. Pada waktu itulah kita sebenarnya akan diuji sama ada kita mampu mengulangi apa yang telah kita lakukan dalam bulan Ramadhan atau tidak.

Kerana itu, tarbiyah kita ialah proses teori dan praktikal yang berlaku sepanjang masa, bukan hanya pada senggang waktu yang tertentu sahaja. Ayuh, mari kita sama-sama makmurkan 11 bulan yang lain seperti mana kita makmurkan bulan Ramadhan dengan segala macam amal! InsyaAllah boleh, biiznillah.

No comments: