29 July 2010

Jual Beli Kita

Alhamdulillah, sehingga saat ini, Allah masih lagi memperkenankan hamba-Nya ini untuk terus menikmati kehidupan di dunia yang sementara ini. Semoga sisa hidup yang berbaki ini bukannya dihabiskan dengan banyak perkara yang sia-sia tetapi harapnya nikmat dikurniakan umur yang panjang di dunia ini disedekahkan untuk perkara yang bermanfaat, demi Allah s.w.t..

Setelah hampir sebulan berada di tanah air, kira-kiranya inilah artikel pertamaku selepas agak lama tidak menulis. Terlalu asyik menghabiskan masa bersama keluarga dan saudara-mara serta beberapa program tidak rasmi, baik di rumah sendiri mahupun di luar rumah, agak-agaknya kerana itulah blog tidak dikemas kini buat seketika yang lalu.

Secara jujurnya, aku akui bahawa cuti musim panas pertamaku di tanah air kali ini terisi dengan banyak program, menyebabkan kehidupanku pada waktu cuti ini tidak jauh bezanya seperti kehidupan sebagai seorang YB (Yang Berhormat) agaknya. Pergi ke sana-sini, pergi ke hulu-hilir. Ada waktunya di rumah, ada waktunya di luar. Sekejap di Kuala Terengganu, sekejap di Kuala Lumpur. Ada juga cabaran yang perlu dilalui yang mana ada program-program yang dirancang bertindih tarikh acaranya, malah kesulitan juga timbul apabila tidak menemukan atau memilih tarikh yang sesuai bagi program yang telah lama dirancang. Begitulah gambaran 'sibuk'nya hidupku sepanjang cuti ini. Terpaksa berkorban masa rehat, tenaga dan wang, itulah juga pengorbanan yang harus dilakukan dalam kesibukan ini.

Tetapi bila difikirkan semula, berapalah sangat pengorbananku yang telah diinfaqkan di jalan Allah berbanding hamba-hamba-Nya yang lain di luar sana, khususnya sepanjang waktu cuti ini. Ada orang yang sebahagian besar hidupnya dihabiskan dengan dakwah dan tarbiyyah. Hampir mustahil mendengar rungutan kerana letih dan penat daripada mereka ini untuk mempersiapkan diri sendiri serta orang binaannya dengan tarbiyyah. Jauh sekali pula untuk mendapatkan mereka ini jemu dan serik meniti di jalan dakwah yang mereka pilih. Sungguh, amal dakwah dan tarbiyyah itulah perniagaan yang sangat menguntungkan bagi mereka kerana itulah satu-satunya perniagaan yang Allah jalankan dengan hamba-Nya. Mereka menjual, Allah membeli. Sungguh, itulah perniagaan yang paling menguntungkan di dunia dan di akhirat kelak.

Firman Allah s.w.t. dalam surah At-Taubah, ayat ke-111:
إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٲلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَ‌ۚ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقۡتُلُونَ وَيُقۡتَلُونَ‌ۖ وَعۡدًا عَلَيۡهِ حَقًّ۬ا فِى ٱلتَّوۡرَٮٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ وَٱلۡقُرۡءَانِ‌ۚ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِعَهۡدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِ‌ۚ فَٱسۡتَبۡشِرُواْ بِبَيۡعِكُمُ ٱلَّذِى بَايَعۡتُم بِهِۦ‌ۚ وَذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan beroleh syurga, disebabkan mereka berjuang pada jalan Allah, maka antara mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar."
Secara logik akalnya, amat mustahil untuk memikirkan bagaimana urusan jual-beli yang dinyatakan dalam ayat di atas berlaku. Allah-lah yang menciptakan dan mengurniakan segala apa yang ada pada hamba-Nya tetapi jiwa dan harta yang Allah kurniakan itu, kemudiannya Allah membelinya pula daripada hamba-Nya. Pelik bin ajaib. Sangat aneh sekali tetapi itulah hakikat perniagaan yang sebenar, hakikat keistimewaan orang-orang beriman di sisi Allah s.w.t.. Mereka yang berjual-beli dengan Allah, itulah mereka yang darjatnya diangkat sangat tinggi oleh-Nya, yang memperoleh kemenangan yang sebenar.

Apakah kita termasuk dalam golongan hamba yang berjual-beli dengan penciptanya?

Allah berfirman dalam ayat yang seterusnya:
ٱلتَّـٰٓٮِٕبُونَ ٱلۡعَـٰبِدُونَ ٱلۡحَـٰمِدُونَ ٱلسَّـٰٓٮِٕحُونَ ٱلرَّٲڪِعُونَ ٱلسَّـٰجِدُونَ ٱلۡأَمِرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱلنَّاهُونَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَٱلۡحَـٰفِظُونَ لِحُدُودِ ٱللَّهِ‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
"Mereka itu ialah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian)." (At-Taubah, 9 : 112)
Maka, berlumba-lumbalah setiap orang daripada kita untuk menjadi antara golongan yang disebut Allah tadi, bukan tergolong dalam satu kumpulan sahaja, bahkan impikanlah supaya tergolong dalam kesemua kumpulan hamba-Nya yang telah disebutkan tadi.

Bagi mereka yang meletakkan dirinya sebagai seorang da'i, suka diingatkan bahawa janganlah terlalu berkira-kira dengan masa, tenaga, mahupun harta yang telah atau akan dihabiskan untuk ummat dan agama Islam, ataupun berkira-kira dengan hasil usaha sepanjang berada di jalan dakwah. Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada hasil kepada usaha kita, sebaliknya Dia menilai cara dan apa yang telah kita usahakan.

Semoga baki cuti selama sebulan ini lebih banyak dimanfaatkan dengan pengisian yang berfaedah, kurang terisi dengan kegiatan yang lagha dan sia-sia. Segala apa yang dikerjakan untuk agama Islam dengan nama Allah, semuanya itu merupakan pelaburan yang sangat menguntungkan. Keuntungan yang tidak ternilai pada hitungan manusia. Yakinlah, itulah janji Allah. Sama ada kita menerima hasil pelaburan di dunia ini ataupun di akhirat kelak, itu urusan-Nya, maka usahlah terlalu memikirkannya. Tapi apa yang pasti, keuntungan yang diperoleh di akhirat kelak, itulah yang sangat jauh lebih baik daripada apa yang kita punya di dunia ini. Berpeganglah kepada pepatah Melayu - berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kata nak masuk syurga, mestilah kena berkorban besar terlebih dahulu ya!

Sibukkanlah dirimu dengan kebaikan, sebelum diri kamu disibukkan dengan kemungkaran.

Wallahu'alam

No comments: