Antara individu yang termasuk dalam golongan berkenaan termasuklah adik perempuanku sendiri, Hasanah binti Mahmud, yang mengambil keputusan SPM di sekolahnya, SMK Agama Tok Jiring.
Justeru saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada adikku, Hasanah, khususnya, dan juga kepada seluruh warga calon SPM 2009 atas keputusan SPM masing-masing, tidak kiralah yang cemerlang ataupun tidak. Kepada yang cemerlang, banyakkanlah bersyukur kepada Allah sebagai tanda kita bersyukur atas kejayaan yang kita perolehi, di samping bertasbih dan beristighfar agar kita tidak leka dan sombong dengan nikmat kejayaan kurniaan-Nya yang kita kecapi tersebut. Kepada yang kurang cemerlang, jangan sesekali merasa sedih, lemah semangat dan merendah diri disebabkan keputusan yang tidak memuaskan. Kegagalan dalam SPM bukanlah bererti tertutuplah pintu kejayaan pada masa akan datang dan gelaplah masa depan. Tidak sesekali begitu.
Ingatlah firman Allah SWT:
Ketahuilah bahawa rezeki kurniaan Allah SWT ada di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Kalau tidak berjaya dalam SPM kali ini, insyaAllah pada waktu lain dalam masa akan datang yang kita tidak tahu bila, mungkin pada ketika itulah tibanya giliran bagi kita pula untuk mengecapi kejayaan. Boleh jadi berjaya di IPT, boleh jadi juga mendapat bantuan melanjutkan pelajaran ke luar negara walaupun keputusan tidak cemerlang, boleh jadi berjaya dalam pekerjaan, dan banyak kemungkinan lain lagi yang kita sendiripun tidak pernah menjangkakannya akan berlaku.وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
Maksud: "...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan ingatlah, Allah jualah Yang mengetahui semuanya itu, sedang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah, 2 : 216)
Sebagai contoh terdekat, ambillah kes aku menuntut di Perancis ini. Dengan keputusan SPM aku yang tidak begitu cemerlang dahulu, aku tidak pernah memikirkanpun aku akan dapat merealisasikan impianku untuk belajar di luar negara di Timur Tengah. Tapi benarlah kata-kata Allah, jikalau Dia mengkehendaki sesuatu untuk terjadi, maka jadilah ia. Tup, tup, tanpa disangka langsung, dapatlah aku merasa belajar di luar negara di bawah tajaan MARA di Nice ini. Alhamdulillah. Terima kasih Allah, terima kasih MARA!
Dan kalau nak diikutkan, banyak juga individu hebat hari ini yang berjaya di IPT atau dalam alam pekerjaan tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang semasa zaman persekolahannya. Jadinya, bagi mereka yang merasakan mereka kurang berjaya, teruskanlah berusaha. Jangan sesekali berhenti mengalah untuk keluar dari kepompong kegagalan. Yakinlah bahawa saudara-saudari mampu menjadikan masa depan saudara-saudari jauh lebih baik dari hari ini.
RAHSIA KEJAYAAN
Oleh kerana itu, saudara dan saudari perlulah menyedari bahawa usaha yang berterusan serta terjaganya hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita dengan manusialah menjadi kunci kejayaan dan keberkatan bagi setiap amal pekerjaan yang kita lakukan.
Firman-Nya:
Selagi mana kita berusaha, bertawakal serta menjaga hubungan kita dengan Allah dan umat manusia, dengan izin Allah, selagilah itulah rezeki kita akan dijamin kecukupannya oleh Allah SWT dan selagi itulah juga Dia akan memperlihatkan kepada kita jalan penyelesaian terhadap permasalahan hidup kita.وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُ ۥ مَخۡرَجً۬ا, وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُ ۥۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدۡرً۬ا
Maksud: "...sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan menunjukkannya jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya, dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluan baginya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah menentukan bagi setiap sesuatu." (At-Talaq, 65 : 2-3)
Yakinlah dengan jaminan Allah, sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjinya terhadap hamba-Nya, sebaliknya kita sendirilah yang kadang-kadang menzalimi diri sendiri atas sebab kejahilan diri sendiri.
Teruskan berusaha, berdoa dan bertawakal!

1 comment:
may Allah bless you forever..
Post a Comment