Kebelakangan ini aku banyak pula dimaklumkan tentang berita kematian orang. Baik yang tidak dikenali ataupun dikenali, baik yang tua ataupun yang muda. Pelik dan lain rasanya. Tak macam biasa, entah kenapa. Lagi satu, orang lain yang masih hidup pula sibuk mengingatkan diri sendiri dan kawan-kawan yang lain tentang kematian, sampaikan aku sendiripun terasa 'bahang' dekatnya mati. Di laman Facebook umpamanya, mulalah kecoh dengan status-status yang 'menggerunkan' dan menyayat hati. Ini semua gara-gara MATI.
Firman Allah SWT:
كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَڪُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ
Maksud: "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." (Ali-Imran, 3: 185)MATI itu ialah sunnatullah, iaitu setiap yang hidup pasti akan mati. Dan perasaan sedih, takut atau bimbang kepada kematian pula merupakan fitrah atau sifat semula jadi bagi manusia. Menurut Syeikh Uthaimin, perasaan takut (khauf) adalah rasa gelisah yang muncul sebagai reaksi kekhuatiran akan berlakunya sesuatu yang menghancurkan, membahayakan atau menyakitkan. Oleh kerana itulah sesuatu hal yang menjadi hak milik kita, pasti kita akan rasa takut untuk kehilangannya. Handphone mahal yang kita beli, takut sungguh kalau-kalau ada orang mahu mencurinya. Duit yang banyak, risau betul akan berkurang atau dicuri. Jawapan bagi masalah matematik x+1=0 yang kita ketemupun kita terasa berat hati hendak bagi kepada orang lain. Ish, macam-macam...
Tapi aku tertanya-tanya, walaupun ada orang sudah banyak kali diperingatkan dengan kematian, namun dia masih hidup seperti biasa, tanpa ada tanda-tanda dia mempersiapkan diri dengan bekalan yang secukupnya sebelum dijemput malaikat Izrail pada bila-bila masa sahaja.
Firman Allah SWT:
وَذَكِّرۡ فَإِنَّ ٱلذِّكۡرَىٰ تَنفَعُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
Maksud: "Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman." (Az-Zaariyat, 51: 55)Bagi orang beriman, setiap peringatan yang disampaikan pasti akan diambil sebagai manfaat bagi mereka. Walaupun peringatan sama diberikan secara berulang kali, namun mereka tetap mengambilnya sebagai bahan untuk mentarbiyah diri. Dalam masa yang sama, penyakit yang dihidapi banyak muslim pada hari ini juga adalah memandang ringan terhadap peringatan, terutamanya peringatan yang diberikan berulang kali kerana bagi mereka, cukuplah sekali dua peringatan sama diberikan. Mereka yang berpenyakit sebegini akan selalu merasa bosan dan muak dengan peringatan yang sama. Hal ini jugalah yang sama berlaku terhadap peringatan mengingati mati. Kita selalu sahaja dihidangkan dengan berita kematian tetapi ia tidak sedikitpun memberi kesan kepada persiapan kita menghadapi mati.
Allah berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 175 maksudnya, "Dan takutlah kepada-Ku jika kamu benar-benar orang yang beriman". Jadi aku mahu bertanya, setakat manakah saudara-saudari takut akan mati dan Allah? Kalaulah diri sendiripun ragu-ragu dengan jawapan yang diberikan, itu tandanya kita masih belum beriman. Persiapan untuk mengadap Allah pada Hari Pengadilan masih belum cukup. Apa solution-nya? Perbanyakkanlah amal kebajikan, ya.
Firman Allah SWT:
وَلَن يُؤَخِّرَ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِذَا جَآءَ أَجَلُهَاۚ وَٱللَّهُ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
Maksud: "Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan kematian seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan." (Surah Al-Munafiqun, 63: 11)Maka, sukacitanya aku nak mengingatkan diri aku sendiri dan saudara-saudari sekalian, sentiasa berwaspadalah dalam setiap perbuatan kita di samping sentiasa memperbanyak amal sebagai bekalan untuk hari kemudian sebelum maut datang mengundang.
Dalam mengingati kematian, Imam Al-Ghazali membahagikan manusia kepada tiga tingkatan iaitu:
1. Al-Munhamik, iaitu orang yang tenggelam dalam tipu daya dan hawa nafsu dunia. Ia tidak ingat kematian dan enggan untuk diingatkan mengenai kematian. Jika diingatkan pula, akan menjauhkannya daripada Tuhan. Orang seperti ini kurang mempersiapkan bekal untuk menghadapi kematian bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat.
2. At-Taib, iaitu orang yang selalu bertaubat memohon keampunan daripada Allah. Ia banyak mengingati kematian yang mendorongnya beramal dan mempersiapkan bekalan di akhirat. Kalaulah tidak menyukai kematian tidak lain kerana mereka khuatir bekalan yang dipersiapkan belum cukup hingga dalam keadaan demikian takut menghadap Allah.
3. Al-‘Arif, iaitu orang yang mengetahui kedudukan dirinya di hadapan Allah. Ia sentiasa mengingati kematian bahkan selalu menanti saat kematian kerana baginya kematian adalah detik pertemuan dengan Allah, Zat yang selama ini dicintai selain memiliki persiapan untuk menghadapi kematian.
Fikir-fikirkanlah yang kita ini tergolong dalam golongan mana...
Firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 102:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam."Mohonlah pada Allah agar tidak mati dalam keadaan yang mengaibkan dan janganlah pula banyak berangan-angan dalam hal-hal duniawi. Allah menyebut bahawa hendaklah kita mati sebagai seorang MUSLIM, bukannya mati sebagai seorang engineer atau seorang doktor atau orang yang sudah berkahwin atau orang tua, dan sebagainya. Maknanya, kematian itu akan mendatangi kita pada bila-bila masa dan di mana-mana. So, janganlah bersedih kalau ada orang mati ketika usianya masih muda, ketika masih belum berkahwin ataupun sebelum memperoleh apa yang dihajatinya, kerana kita mesti faham dan jelas bahawa kematian yang dikehendaki Allah ialah kematian kita dalam keadaan MUSLIM.
Saudara-saudariku,
Ingatlah pesan Saidina Ali RA,
"Jadikanlah umur ibarat wang yang diberikan kepadamu sekiranya engkau tidak suka apa yang engkau belanjakan hilang begitu sahaja maka hendaklah engkau tidak menghabiskan umur engkau dengan sia-sia."Kehidupan kita di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan. Apa yang ada hanyalah percubaan, cabaran dan pelbagai peluang. Jaminan yang kekal abadi hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula ke pada Ilahi. Moga-moa setiap daripada kita dapat menjadikan dunia ini sebagai tempat pelaburan terbaik agar di akhirat kelak kita akan memperoleh keuntungannya. Sesungguhnya Allah Tuhan Maha Adil. Amin...
Wallahualam
p/s: Marilah kita sama-sama sedekahkan pahala bacaan Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita.


No comments:
Post a Comment