Setinggi-tinggi kesyukuran kita ucapkan kepada Allah SWT, kerana sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Dia-lah kita masih lagi dapat mengecapi setiap saat di dunia ini sehingga saat ini dan menikmati nikmat Islam dan iman yang masih tak dapat dirasai oleh banyak manusia di luar sana. Maka, hargailah setiap nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Seterusnya, marilah kita sama-sama berselawat ke atas junjungan besar Nabi kita, Muhammad SAW, pemberi rahmat seluruh alam. Turutilah ajaran dan pesan baginda, nescaya kita semua takkan terjerumus ke dalam perangkap syaitan yang sentiasa mengajak kita secara halus untuk bersama mereka di neraka kelak.
Sabda baginda SAW maksudnya:
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang pada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-selamanya iaitu kitabullah (Al-Quran) dan sunnahku." (Riwayat Imam Malik)Justeru itu, marilah kita kembali berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah secara menyeluruh dan fahamilah isinya dengan sebenar-benarnya.
MEMILIH SAHABAT
Mencari kawan merupakan satu fitrah setiap manusia. Selain ahli keluarga, manusia pasti mencari orang lain yang tidak mempunyai pertalian darah yang sama sebagai teman. Berkawan itu memanglah digalakkan dalam Islam, bukan sahaja dengan orang yang sebangsa dan seagama malah dengan orang lain yang berlainan bangsa dan agama. Firman Allah SWT maksudnya:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain..." (Al-Hujuraat, 49: 13)Namun begitu, persahabatan dalam Islam juga ada syarat dan batasnya juga supaya kita tidak tersilap memilih sahabat yang boleh menjerumuskan kita ke lembah kejahatan. Bagi mereka yang mencari sahabat dunia dan akhirat, hendaklah memilih mereka yang sentiasa beribadat kepada Allah, orang yang tidak fasik atau berpaling dengan ajaran Islam dan orang tidak yang mengutamakan dunia semata-mata. Merekalah inilah yang paling layak diiktiraf sebagai sahabat baik dan orang seperti inilah juga yang akan memimpin kita ke arah kebaikan dan menjauhkan kita dari kejahatan yang membinasakan. InsyaAllah.
Sabda Nabi SAW maksudnya:
"Hendaklah seseorang itu memerhatikan siapakah yang harus dipilihnya menjadi rakan." (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)Maka, bolehlah penulis katakan di sini bahawa antara ciri-ciri orang yang boleh kita jadikan sebagai teman dan sahabat ialah:
1. Orang yang alim dan berilmu
Pesan Luqman Hakim, "Wahai anakku, bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan."
Sahabat yang terbaik ialah orang yang alim dalam agama dan juga berilmu. Dengan pegangan agama yang kuat, ia memandu akal dan ilmunya ke arah mengesakan dan membesarkan Allah. Setiap kata-katanya pasti akan membawa akal dan hati kita kembali dekat kepada Allah yang Maha Pencipta. Setiap nasihatnya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi sebenarnya atas dasar kasih dan sayangnya akan kita dan niatnya tidak sanggup melihat kita terjebak dalam lembah dosa yang memungkinkan kita ke neraka. Bila kita mengambil nasihat dan kata-kata baiknya sebagai mutiara dan pedoman, insyaAllah, banyak manfaat baik yang kita peroleh.
2. Bersifat benar
Firman Allah maksudnya:
"Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar." (At-Taubah, 9: 119)Mereka yang benar dan membenarkan setiap apa yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnahlah yang paling berani membetulkan kita ketika kita berbuat kesalahan sehingga kita tidak hanyut di dalam kesalahan dan dosa. Orang yang benar dan membenarkan apa benar itulah ciri-ciri manusia yang sukar dicari di dunia pada zaman sekarang, baik dalam kalangan ulama mahupun dalam kalangan pemimpin. Jika ciri manusia ini ada pada sahabat anda, maka turutilah dia sepanjang masa. Mudah-mudahan, anda sentiasa terpelihara daripada fitnah manusia dan dunia.
Bagi mereka yang cuai dan lalai dan beragama, hendaklah kita jauhi daripada mengambil mereka sebagai kawan baik atau contoh. Tapi itu tak bermakna kita perlu memutuskan silaturrahim antara kita dan mereka. Yang harus diberi perhatian adalah kita jangan sesekali terpengaruh dengan kejahilannya.
Firman Allah SWT maksudnya:
"Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah mereka dengan Al-Quran supaya setiap orang di akhirat kelak tidak terjerumus ke dalam azab neraka dengan sebab apa yang mereka telah lakukan. Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat selain daripada Allah." (Al-An'aam, 6: 70)3. Baik budi pekerti dan bahasa
"Sesungguhnya orang yang keji lagi kotor dan celaka ialah sekiranya dia berbicara, maka bicara itu membongkarkan kebodohannya. Sekiranya dia beramal, dia melakukan yang buruk. Sekiranya dia duduk, dia membuang masa. Sekiranya dia menjadi kaya, dia tidak berpuas hati. Sekiranya dia menjadi faqir, dia berputus asa. Sekiranya dia gembira, dia melakukan kejahatan. Sekiranya dia bersedih, dia berputus asa."
Akhlak seseorang sahabat itulah hendaklah dititikberatkan oleh kita semua. Sesungguhnya akhlak seseorang itu menggambarkan hati dan iman mereka. Jika akhlaknya mulia, ambillah ia sebagai qudwah. Jika tidak, jadikanlah ia sebagai pengajaran dan jauhilah daripada menuruti akhlak dan perilaku yang tidak baik di sisi Islam.
Hindarilah daripada menjadikan mereka yang tamak, hipokrit, pengampu, pemboros dan dan sukakan hiburan sebagai sahabat.
4. Ikhlas
Di sana ada tiga jenis saudara, iaitu saudara yang tidak membalas kebaikan yang anda berikan kepadanya, saudara yang memberikan balasan yang setimpal dengan kebaikan yang diterimanya dan saudara yang sentiasa ingin memanjangkan hubungan persaudaraan tanpa mengejar sebarang kebaikan daripada anda.
Daripada tiga jenis saudara ini, ambillah mereka yang ikhlas dalam berkawan sebagai sahabat seumur hidup kita. Selama mana kita berkawan dengannya, sahabat yang ikhlas dalam persaudaraan sahajalah yang akan sentiasa berada di sisi kita, baik ketika susah mahupun senang. Mereka tidak mengambil kesempatan dan manfaat ke atas kita semasa kita senang dan tidak pula meninggalkan kita pada saat kita dalam kesusahan. Hanya mereka yang ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa ganjaran sahajalah sentiasa berada di sisi kita.
"Barang siapa mengkehendaki daripada sahabatnya apa yang tidak dikehendakinya, maka seseungguhnya dia telah berbuat zalim kepadanya. Barang siapa mengkehendaki daripada sahabatnya seperti apa yang dikehendakinya, sesungguhnya dia telah mendatangkan kepayahan kepadanya. Barang siapa tidak mengkehendaki apa-apa daripada sahabatnya, sesesungguhnya dia berbuat keutamaan kepadanya."
Buat masa ini, setakat empat ciri seperti di ataslah yang sempat penulis kemukakan. Hendak diikutkan, banyak lagi ciri-ciri sahabat yang boleh diutarakan tapi secara keseluruhannya, penulis dapat simpulkan bahawa sahabat yang terbaik adalah orang berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beramal dengannya. Setiap akhlaknya, lisannya dan amalnya hanyalah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. InsyaAllah, jika ini yang ada pada seseorang manusia itu, nescaya itulah sebaik-baik manusia dan sebaik-baik teman.
Bolehlah penulis katakan teman yang paling baik adalah apabila kita melihat wajahnya, kita teringat akan Allah, mendengar kata-katanya akan menambahkan ilmu agama dalam dada kita, dan melihat gerak-gerinya kita teringat akan mati. Orang sebeginilah yang paling layak menjadi sahabat kita di dunia dan di akhirat kelak.
Berhati-hatilah dalam memilih kawan dan hayatilah firman Allah SWT di bawah agar kita sentiasa beringat sebelum memilih seseorang sebagai kawan.
"Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si fulan itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)" (Al-Furqan, 25: 28-29)TERIMA KASIH ALLAH
Penulis bersyukur sangat-sangat kepada Allah SWT kerana penulis dikurniakan banyak sahabat yang memahami Islam dan berjuang untuk Islam. Baik yang muda mahupun yang telah berusia. Mereka inilah yang sentiasa menjadi qudwah (contoh) terbaik kepada penulis dalam perjuangan penulis untuk agama Islam yang tercinta ini. Bukan semua orang dapat merasai nikmat kurniaan Allah ini, maka penulis ingin mengingatkan diri kita semua supaya bersyukur dan menghargai nikmat berkawan dengan orang-orang yang berilmu daln beramal mengikut ajaran agama. Sesungguhnya itulah sebaik-baik kurniaan daripada Allah kepada kita.
Pesan penulis kepada semua, pilihlah sahabat yang baik kerana setiap orang yang menjadi kawan kepada kita pasti akan meninggalkan kesan kepada kita dalam apa-apa segi. Kalau dia baik, maka kebaikanlah yang kita dapat. Kalau dia jahat, kejahatanlah yang kita dapat.
Hadis al-Bukhari daripada Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:
"Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk."Bagi mereka yang punya sahabat yang baik, maka hargailah si dia sebaik-baiknya. Sesungguhnya sahabat yang baik ialah kurniaan daripada Allah yang sangat bernilai dan berharga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya, nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh. Jika sekiranya dia terlupa (lalai), dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya."Marilah kita sama-sama mencari dan menjadi sahabat yang soleh.
PESAN BUAT SAHABAT SEPERJUANGAN
Kepada rakan-rakan seperjuangan, marilah kita sama-sama rapatkan saf antara kita. Jauhilah segala macam perasaan dan perkara tidak baik yang boleh mengotorkan ikatan persaudaraan antara kita semua. Jika ada sekelumit rasa tidak baik dalam diri kita terhadap sahabat kita, maka kembalilah kita kepada Allah dengan cara bersolat, berzikir dan berdoa. Moga-moga kita semua akan kembali bersatu dan berjuang nama satu akidah dengan hati yang bersih.
Ambillah perhatian terhadap pesan Uwaisal-Qarni yang berbunyi, "Oleh kerana aku terlalu mengerjakan amar ma'ruf nahi mungkar aku kehilangan kawan. Biar hilang kawan kerana perjuangan, tetapi jangan hilang teman seperjuangan."
Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu,
Bertemu untuk mematuhi perintah-Mu,
Bersatu memikul beban dakwah-Mu,
Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu.
Maka eratkanlah ya Allah akan ikatannya,
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini,
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini akan jalannya yang sebenar,
Penuhkanlah piala hati ini dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu,
Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentang-Mu.
Jika Engkau mentakdirkan mati,
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu,
Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong ya Allah,
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal 'Alamin.
"Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati. Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur, baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya."
No comments:
Post a Comment