Sesungguhnya masa itu berlalu dengan sangat pantas. Hari ini genap sebulan keberadaan saya di Nice, Perancis. Selama sebulan berada di sini, banyak pengajaran dan pengalaman yang dapat saya kutip. InsyaAllah pada hari ini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak dengan sahabat semua tentang fiqah di luar negara.
Ilmu fiqh di samping ilmu usul fiqh amatlah penting untuk dipelajari oleh semua orang kerana dengan adanya bekalan ilmu fiqh, kemaslahatan hidup dapat dipelihara manakala kemudharatan hidup dapat dihindari, contohnya dalam soal ibadah dan muamalat. Dr. Yusuf Qaradhawi dalam bukunya, Fiqh Keutamaan, secara ringkas menjelaskan bahawa fiqah itu adalah ilmu yang mengatur kehidupan individu Muslim. Macam-macam masalah dalam urusan hidup terutamanya masalah dalam soal ibadat yang menjadi perdebatan bahkan pertelingkahan yang dapat kita lihat hari ini, dari sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil-kecil perkara adalah disebabkan ceteknya ilmu kita tentang fiqh dan juga usul fiqh.
Bagi mereka yang akan atau sedang melanjutkan di luar negara, antara persiapan yang mesti dibawa bersama ke luar negara ialah bekalan ilmu fiqh. Mengikut pengalaman dan pengamatan saya, pelajar Malaysia yang berada di luar negara akan menghadapi banyak masalah seperti dalam soal wuduk, soal solat, soal najis dan sebagainya. Bila tiba di luar negara tanpa ilmu sebegini, mulalah macam-macam ragam dapat dilihat. Inilah yang berlaku kepada sahabat-sahabat saya dan saya di sini.
Berikut adalah beberapa perkara dan masalah yang ingin saya fokuskan terlebih dahulu:
SOLAT JAMAK
Dalam kehidupan Muslim, kadang-kadang mereka berhadapan dengan keadaan yang memaksa mereka untuk tidak dapat menunaikan solat pada waktunya. Pelajar di luar negara yang menghadapi peperiksaan, menghadiri kelas yang terpaksa mengambil waktu solat isyak yang singkat, waktu zohor dan seumpamanya. Bagaimanakah mereka dapat menunaikan solat-solat mereka pada waktunya ?
Ada alternatif yang syar’i dan diperakui oleh ramai ulama dan sunnah sendiri iaitu dengan menjamakkan antara dua solat dalam satu waktu KERANA hajat yang bersangatan dan tidak dapat dielakkan. Segelintir daripada ulama di dalam mazhab al-Syafie seperti Abu Ishaq al-Marozi, al-Qaffal dan al-Khattabi (lihat : al-Hisni, opcit, hal. 141), ulama mutakhirin dari mazhab Ahmad, Asyhab dari mazhab Maliki, Ibnu. Munzir pengarang buku al-Ijma, golongan ahli Zahir , mazhab ahli Hadis dan juga Ibnu Sirin berpendapat HARUS melakukan “jamak” kerana hajat yang benar-benar mendesak (Lihat : Ibnu Rusyd, opcit., jil. 1, hal. 398; al-Sya’rani, opcit, jil. 1, hal. 236).
Mereka berhujah dengan hadis Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Muslim yang mengatakan Rasulullah SAW telah melakukan “jamak” di antara Maghrib dan Isyak dan juga antara Zohor dan Asar bukan kerana hujan ataupun kerana bermusafiran seperti berikut:
Ibnu Abbas RA berkata: Bahawasanya Nabi SAW pernah menjamakkan antara zohor dan asar, dan antara maghrib dan isyak di Madinah tidak kerana musafir dan tidak kerana hujan. Ibnu Abbas ditanya: Apa yang dikehendaki dengan yang demikian itu (mengapa Rasulullah melakukannya)? Dia berkata: baginda mahu memberi kelapangan (mudah) kepada umatnya. (Hadis Riwayat Muslim)Tapi ingat, keharusan untuk melakukan “jamak” kerana hajat ini tidaklah dibenarkan secara mutlak. Para ulama yang membenarkan perlakuan tersebut telah memberikan syarat-syarat tertentu seperti berikut:
1. Ianya tidak dijadikan kebiasaan atau adat sehingga ianya dilakukan dalam banyak keadaan tanpa ada sebab yang benar-benar mendesak.
2. Hajat tersebut hendaklah benar-benar mendesak dan tidak boleh dielakkan, jikalau ianya (hajat) ditinggalkan maka ianya akan membawa kepada hilangnya maslahat yang lebih besar.
3. Ianya tidak dijadikan alat untuk mempermain-mainkan agama dan alat untuk mereka yang malas mengerjakan solat untuk mengambil mudah di atas urusan agama.
Jadi, secara peribadinya, saya ingin mengingatkan kepada sahabat-sahabat di luar negara khususnya kepada sahabat-sahabat saya di sini bahawa Islam itu adalah agama mudah dan tidak membebankan tetapi jangan sesekali kita ambil mudah tentang urusan agama. Allah SWT memberi kemudahan kita dalam beribadat supaya kita dapat beribadat dalam apa jua cara sekalipun serta bersyukur dengan kemudahan yang telah diberikan. Jangan pula menggunakan darurat sebagai alasan untuk mengamalkan rukhsah sedangkan kita belum pun berikhtiar atau berusaha bersungguh-sungguh.
Sebagai contoh, elakkan menggunakan alasan ada kelas dan tiada kesempatan masa sebagai alasan untuk solat jamak zohor dan asar sedangkan pensyarah ada memberi kepada kita memberi rehat 10-15 minit. Dalam tempoh rehat sebanyak itu, sempat sahaja untuk dirikan solat zohor. Selepas kelas, tunaikan solat asar pula. Setiap hari kita ada kelas, takkanlah setiap hari juga kita hendakkan jamakkan solat? Adakah kita sanggup untuk berhadapan dengan Allah di padang Mahsyar nanti dengan alasan yang remeh-temeh tanpa berikhtiar dan berusaha terlebih dahulu? Fikir-fikirkan...
SEMBELIHAN AHLI KITAB
Firman Allah SWT bermaksud:
"Hari ini dihalalkan yang baik-baik buat kamu dan begitu juga makanan orang-orang yang pernah diberi kitab (ahli kitab) adalah halal buat kamu, dan sebaliknya makananmu halal buat mereka." (al-Maidah: 5)Ayat di atas secara ringkas membawa maksud bahawa hari ini makanan ahli kitab HALAL buat kita sesuai dengan hukum asal dimana Allah tidak mengharamkannya dan sebaliknya makanan orang Islam pun halal buat mereka. Jadi kita boleh makan binatang yang disembelih dan diburu oleh ahli kitab dan sebaliknya kita boleh memberi makan ahli kitab dengan binatang yang kita sembelih atau yang kita buru.
Mereka yang hidup di negara yang negaranya atau masyarakatnya bukan Islam, jika seandainya orang yang melakukan penyembelihannya terdiri dalam kalangan ahli kitab iaitu Yahudi atau Nasrani, maka boleh memakannya, dan tidaklah perlu ditanya akan cara penyembelihannya, apakah mereka membaca bismillah semasa menyembelih atau tidak. Nabi telah memakan daging kambing yang dihadiahkan oleh seorang wanita Yahudi di Khubar. Baginda juga telah memakan makanan (daging) yang diundang oleh seorang Yahudi. Diketahui dalam makan itu terdapat lemak yang sudah berubah (rasanya)dan baginda tidak pernah bertanya akan cara penyembelihan dan dibacakan bismillah atau tidak.
Di dalam sahih Bukhari diriwayatkan:
"Bahawasanya ada sekelompok orang yang berkata kepada Rasulullah, "Sesungguhnya ada suatu kaum yang datang kepada kami dengan membawa daging, kami tidak tahu apakah disembelih atas nama Allah atau tidak. Maka baginda menjawab, "Bacalah bismillah atasnya oleh kamu dan makanlah." Aisyah RA berkata, "Mereka pada saat itu masih baru meninggalkan kekafiran."Tapi kalau kita ragu, siapakah yang menyembelihnya atau halalkah sesuatu makanan, maka tidak mengapa untuk menanyakan hal yang demikian.
Dr. Yusuf Qaradhawi berkata, "Perkataan ahli kitab itu ada satu ungkapan yang bersifat umum, meliputi seluruh macam makanan, sembelihannya, biji-bijiannya dan sebagainya. Semua ini halal buat kita selama barang-barang itu tidak termasuk kategori haram kerana zatnya seperti bangkai, darah, daging babi, semua itu tidak boleh kita makan dengan ijma' ulama, baik barang-barang tersebut makanan ahli kitab ataupun milik orang Muslim" (muka surat 94 dalam kitab Halal dan Haram dalam Islam)
ANJING & NAJISNYA
Bagi mazhab Syafie dan Hanbali, babi dan anjing itu sendiri adalah najis. Kawasan yang dilalui anjing walaupun tiada najisnya dianggap bernajis dan hendaklah dibersih dengan menyamak atau membasuh tujuh kali menggunakan salah satu basuhan dengan air bercampur tanah. Ini berdasarkan hadis bermaksud:
"Sucinya perkakas kamu yang dijilat anjing ialah dengan membasuh sebanyak tujuh kali dengan air, salah satu yang utamanya dengan tanah." (Muslim)Perkara yang sama juga perlu dilakukan kepada kucing sekiranya ia memijak tempat terbabit.
Berbanding dengan mazhab lain yang dilihat lebih fleksibel, umpamanya mazhab Maliki tidak melihat anjing seperti babi secara keseluruhannya sebagai najis.
Basuhan tujuh kali pada jilatan dilihat sebagai peraturan beribadat (ta'abbud) yang ditentukan agama atas sebab-sebab tertentu. Begitu juga mazhab Hanafi yang hanya melihat mulut, air liur dan najis anjing sebagai najis dan bukannya anjing itu sendiri (lihat, al-Zuhayli, 1987: I: 153-54).
Para pelajar di sini mempunyai masalah kerana anjing begitu banyak dan najisnya di merata-raa tempat. Ramai yang membawa anjingnya ke sana sini. Jalan menjadi kotor dengan najis anjing yang berselerakan. Berselisih dan bersentuh dengan anjing bukan perkara luar biasa.
Dalam permasalahan ini, pandangan mazhab Maliki dan Hanafi adalah yang lebih baik dan fleksibel untuk digunapakai di sini. Kalau tiap-tiap hari kita tersentuh anjing atau terpijak najisnya, sangatlah sukar dan leceh bagi kita untuk menyamak atau menyucikan sebanyak tujuh kali setiap hari.
Pesanan buat sahabat Muslimah, saya harap anda tidak melihat anjing sebagai raksasa atau hantu. Setiap kali bertemu dengan anjing, anda melarikan diri bagaikan terserempak dengan hantu. Terserempak dengan anjing secara tiba-tiba, anda menjerit (ketakutan atau terkejut) seperti terserempak dengan hantu juga. Saya nasihatkan, bila terserempak dengan anjing, tolong kawal diri anda sedikit. Pelik dan naik hairan orang-orang putih dibuatnya bila tengok kita melompat atau lari bila terserempak dengan anjing mereka. Anjing yang sekecil kucing pun dilihat seolah-olah sebagai seekor serigala.
KESIMPULAN
Sesungguhnya Islam itu agama yang tidak membebankan penganutnya. Rukhsah dalam ibadat ialah 'hadiah' daripada Allah SWT, Tuhan yang Maha Pengasih Maha Pemurah. Maka hendaklah kita bersyukur dengan pemberian Allah SWT itu. Janganlah sewenang-wenangnya menggunakan alasan darurat supaya dapat mengamalkan rukhsah sedangkan kita masih belum benar-benar berusaha dan berikhtiar mencari alternatif lain yang lebih 'azim'.
Kalau kita asyik mengamalkan rukhsah, di mana tahap ketaqwaan kita? Orang yang ingin meningkatkan ketaqwaannya kepada Allah SWT seharusnya perlu bersusah payah dan berikhtiar dengan kemampuan yang ada pada dirinya sebelum menggunakan rukhsah yang ringan. Hendaklah mengutamakan rukhsah yang paling berat terlebih dahulu. Jika tidak berkemampuan, barulah rukhsah yang lebih ringan digunapakai.
Sesungguhnya syaitan senantiasa berusaha menggelincirkan manusia dan menyesatkan mereka dari jalan kebenaran dengan wasilah yang beraneka ragam. Di antara pintu-pintu kehinaan yang telah dibuka oleh syaitan kepada manusia adalah mencari rukhsah (pendapat paling ringan) dari para fuqaha' dan mengikuti kesalahan-kesalahan mereka.
Semoga perkongsian kali ini sedikit sebanyak bermanfaat untuk semua.
Wallahualam bishawab
Sumber: Ustaz Maszlee Malik

8 comments:
Salam Ali Hassan. Terima kasih atas perkongsian ilmu, ada umur, insyaAllah kita dipertemukan lagi. ^^,
slm..
interesting article ;)
thnks 4 sharing :)
lame nye tak baca tulisan anta
keep it up =)
salam..
rasa2nya siapa shj y ke luar negara akan alami perkara ni..
xperlu jauh..
saya y kat indonesia,negara jiran y masih lagi serumpun pun mengalami perubahan y sama..
apa2 pun tahniah dgn ilmu y didedahkan..
ye btul. klau kita panik nampak anjing nanti anjing jd curious mnybbkn nk kjr kite.
walaubagaimnapun, anjing terrier sgt lah comel. sbb kecik. nasib bek haram, kalau x, dah lama pegang..hu3. dahla bulu mcm tedy bear.. so cute
masya Allah,akhi ali..
banyak ilmu anda ini..=)
boleh kongsi sama ana la..hehe
1st year
bese la kene tau semua ni
lalala~
salam
teruskan usaha murni melalui dakwah blog.
(ada harapan jadi ulama' profersional)
- a.zul teras jernang -
Post a Comment