07 January 2012

Bukan Mencegah, Bahkan Mengajak kepada Kemungkaran!

- Bismillahirrahmanirrahim -

Tahun 2011 berlalu pergi, tahun baru 2012 tiba mencemar duli. Dalam tempoh peralihan ke tahun baru 2012, kebanyakan manusia akan bersemangat dengan azam-azam baru mereka, mengharapkan tahun ini akan lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

Saya tidak punya azam yang khusus, cukuplah saya mengharapkan semua urusan saya yang mendatang akan dipermudah dan diberkati oleh Allah s.w.t.. Dan moga kesalahan lalu diampunkan oleh-Nya, amin.

Doa saya, hanyalah mengharapkan bumi yang kita diami hari ini lebih baik dari semalam. Dan untuk permulaan tahun baru ini, saya mengharapkan permulaan yang baik bagi kita semua.
"Apakah dunia ini akan berakhir pada tahun 2012? Pengetahuan tentang yang ghaib hanya pada Allah. Namun saya sangat optimis bahawa alam ini akan bermula pada tahun 2012 yang akan membawa semangat baru, harapan yang cerah dan peluang yang menjanjikan. Kita tidak boleh membiarkan kesudahan yang mengerikan itu sebagai pembunuh kegembiraan kita di masa depan. Allah memberikan jutaan jumlah kehidupan untuk setiap detik berbanding dengan sedikitnya jumlah kematian."
Menghayati kata-kata Dr. Salman bin Fahd al-Audah di atas cukup meyakinkan saya bahawa tahun baru 2012 boleh menjadi tahun yang lebih baik. Pada saat orang mengatakan tahun 2012 merupakan tahun berlakunya kiamat, maka saya katakan 'ya'. Ya untuk tahun 2012 tahun kiamat bagi kebatilan dan tahun kebangkitan semula bagi kebenaran.

Namun, pada realitinya tidaklah seperti apa yang diharapkan. Tahun baru 2012 bermula dengan sumbang, penuh dengan kekotoran dosa angkara tangan-tangan manusia yang tiada akhlak dan adab. Dalam tempoh seminggu ini sahaja, pelbagai bentuk fitnah dan kemungkaran lain menjadi penyeri bagi permulaan tahun baru ini.

Ustaz Azhar Idrus si ustaz YouTube, Ustaz Fathul Bari si ulama UMNO, Nur Amalina Che Bakri si ikon negara, Saiful Anang si pejuang mahasiswa - inilah antara watak-watak utama yang menjadi hero heroin dalam kisah jahat tahun baru ini. Dalam masa yang sama, Facebook dan blog-blog menjadi tempat yang sangat strategik bagi manusia-manusia untuk melepaskan amarahnya dengan memfitnah, mengumpat dan mengutuk si mangsa keadaan.

Dan berita-berita tersebut disebarluaskan pula dengan alasan supaya orang lain dapat mengambil pelajaran dari hebahan tersebut. Niat memang baik, menyebarkan berita kemungkaran supaya orang lain mengambil pelajaran dengan harapan kemungkaran tersebut dapat dicegah. Namun pada hakikatnya, bukanlah kebaikan yang disemai, tetapi kemungkaran baru pula yang diciptakan. Ya, mencegah suatu kemungkaran tapi dalam masa yang sama melahirkan suatu kemungkaran lain secara tidak sedar.

Bukan mencegah tetapi mencipta kemungkaran!

Ketika kisah saudara kita Ariff Alfian menjadi bahan cerita sensasi masyarakat kita, kisahnya dijaja di seluruh Malaysia bahkan di luar negara. Bercakap mengenai respon saya terhadap isu beliau, saya pernah meluahkan perasaan dan melontarkan satu persoalan kepada teman-teman di Facebook yang menyebarkan berita mengenai kisah jeliknya itu. Dan mengenai isu terbaru berkenaan UAI, UFB dan Nur Amalina terutamanya, saya sekali lagi ingin mengulangi soalan saya sebelum ini - apakah sebenarnya tujuan dan harapan yang kita harapkan daripada post yang kita hebahkan itu?

Daripada kisah-kisah tidak baik yang kita papar dan kongsikan di FB itu, cuba lihat respon dan komen daripada mereka. Lebih banyak respon positif atau negatif?

Mari kita ambil pengajaran daripada satu hadis Nabi s.a.w. yang barangkali sangat umum bagi kita dengannya.
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan untuk berbuat demikian, maka hendalah dia mengubahnya dengan lisannya. Dan jika beliau tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadith riwayat Muslim)
Jika diteliti hadis di atas, kalimah "فَلْيُغَيِّرهُ" secara lebih tepatnya membawa maksud "mengubahnya", bukan "mencegahnya" seperti yang mungkin kita fahami sebelum ini. Dengan kata mudah, kata kuncinya, sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia MENGUBAHNYA.

Dan suatu perkara lain yang kita harus saling peringatkan, yang sebaik-baiknya adalah mengubah suatu kemungkaran daripada ada kepada tiada, atau sekurang-kurangnya kepada yang sepatutnya.

Dalam isu menyebarkan apa-apa hebahan di FB, saya lebih suka kepada hebahan maklumat yang boleh mendorong kita menjauhi perkara-perkara yang dibenci oleh Allah dan mendekati perkara-perkara yang disukai-Nya. Atau mungkin hebahan yang disusuli dengan respon yang baik, penuh akhlak dan adab.

Adapun dalam dunia realiti mahupun dalam alam maya, kadang-kadang kita terlalu bersemangat dalam hal-hal mencegah kemungkaran sebegini rupa. Apabila seseorang dilihat melakukan kesalahan, terus diterkamnya dia oleh kita. Bila kita mengata seseorang dan dengan tidak sedarnya kita mengajak orang lain turut serta mengata di FB, di manakah konsep "mengubah" kemungkaran tadi? Adakah kita sebenarnya mengubah kemungkaran kepada yang sepatutnya? Atau sebaliknya, kita sebenarnya mengajak orang lain untuk sama-sama mencipta kemungkaran lain?

Fikir-fikirkan dan selamat beramal dengan apa yang kita dapat dan fahami.

Wallahu'alam.

No comments: