Pada suatu ketika dalam satu liqa' mingguan usrah, ahli-ahlinya ada berbincang tentang pengurusan kewangan mereka, termasuklah juga berinfak untuk dakwah.
Ada seorang ikhwah, bersemangat mahu menginfakkan duitnya dalam jumlah yang agak besar. Adapun seorang ikhwah yang lain, beliau dalam kesempitan, tetapi masih juga bersemangat mahu mengeluarkan infak, tidak kurang seperti temannya yang tadi.
Sebagai pendengar kisah di atas, saya bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan penggerak-penggerak dakwah seperti mereka ini. Tidak kikir untuk mengeluarkan duit demi agama, walaupun kadang-kadang, perbelanjaan diri sendiripun tidak mencukupi.
Namun, jika diteliti daripada pelbagai aspek, berinfak atas dasar semangat semata-mata bukanlah budaya berinfak sebetulnya. Bila ditanya berapa banyak yang hendak diinfakkan, selalu juga orang menyampuk, "Nak infak berapa banyak, ikut iman dialah."
Dalam perkara ini, saya tidak bersetuju 100% menggunakan alasan neraca iman dalam menentukan berapa banyak yang hendak diinfakkan. Semakin banyak yang diinfakkan, bukanlah beerti semakin meningkat iman kita. Begitu juga, semakin meningkat iman bukanlah beerti semakin banyak infak yang akan dilaburkan.
Ada orang menggunakan kisah Saidina Abu Bakar r.a. membelanjakan seluruh hartanya demi Islam sebagai motivasi serta alasan untuk banyak berinfak. Jika alasan itu dijadikan sandaran semata-mata sebelum berinfak, nescaya akan tercemarlah dakwah dan pemberi infak itu sendiri jika faktor-faktor lain tidak diambil kira, jika mahu dilihat dari segi kesan jangka panjang atau masa hadapan. Senario kehidupan ketika zaman Rasulullah dan para sahabat adalah jauh berbeza dengan kehidupan umat Islam sekarang. Tidak boleh semuanya diambil bulat-bulat. Seorang yang berjiwa da'i, mesti juga faqih dan bijak dalam beramal.
Pada saya, jika mahu berinfak, status kewangan semasa dan pada masa hadapan perlu diambil berat. Dalam kes ikhwah di atas, ada beberapa perkara yang mungkin boleh kita ambil perhatian.
Hari ini mungkin kita punya wang atau harta yang boleh diinfakkan sebahagian daripadanya. Andaikata banyak yang diinfakkan sekaligus pada saat ini, apakah kita punya simpanan lagi untuk perbelanjaan lain pada masa akan datang?
Saya sendiri pernah merasai dan melihat beberapa orang ikhwah sebelum ini, mereka bersemangat berinfak tetapi kemudiannya, apabila tiba saat untuk melunaskan bayaran kereta, rumah, bil telefon dan sebagainya untuk bulan berikutnya, masing-masing pokai. Kemudiannya terpaksa meminjam dan berhutang dengan orang lain untuk menyelesaikan perbelanjaan-perbelanjaan tersebut. Bahkan, ada juga kes yang mana tabung dakwah yang selama ini ke dalamnya dia mengeluarkan infak, akhirnya tabung dakwah itulah juga yang membantu meringankan bebanan kewangannya.
Bagi mereka yang mempunyai hutang, melangsaikan hutang adalah perkara yang mesti diutamakan terlebih dahulu sebelum berinfak. Jangan mencari nahas andaikata hutang masih sekeliling pinggang tapi menggatal nak berinfak.
Kata Nabi s.a.w.:
"Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)." ( Riwayat Muslim, 6/38)Apa gunanya banyak berinfak hinggakan mati syahid sedangkan dosa tak terampun kerana hutang tak terbayar?
Bagi mereka yang dalam kesempitan duit tetapi masih mahu merebut peluang beramal dengan membelanjakan hartanya di jalan dakwah, disarankan berfikirlah secara bijak dan wajar terlebih dahulu. Jangankan kerana teman yang lain banyak berinfak, kitapun mahu join sekali, walhal keadaan kewangan kita dengan mereka tidak sama. Jika yang lain dapat banyak berinfak, janganlah terasa kecil diri jika kita hanya sedikit berinfak.
Ingatlah, dakwah memang banyak dijana dengan hasil infak tapi dakwah bukanlah semestinya menuntut kita berinfak dengan banyak. Banyaknya hasil infak tidaklah menunjukkan banyaknya ganjaran pahala di sisi Allah. Apa gunanya berinfak banyak tapi hati tidak ikhlas?
Ingatlah firman Allah:
وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُواْ لَمۡ يُسۡرِفُواْ وَلَمۡ يَقۡتُرُواْ وَڪَانَ بَيۡنَ ذَٲلِكَ قَوَامً۬ا
Maksud: "Dan juga mereka (yang dikasihi Allah itu ialah) yang apabila menginfakkan hartanya, mereka tidak berlebihan, dan tidak pula kedekut, dan (sebaliknya) antara kedua-duanya secara wajar." (25:67)Berkata Fudhail bin Iyad:
"Meninggalkan amal kerana manusia adalah riak, dan beramal kerana manusia adalah syirik."Saya bukanlah mahu mengajarkan kalian supaya lebih cerewet atau kedekut dalam berinfak, tetapi lebih mengharapkan supaya ikhwah dan akhawat lebih bijak sebelum beramal. Keburukan dan kebaikan hasil daripada amal kita harus ditekankan.
Berinfak biarlah berpada, jangan terlalu melampau dan jangan pula terlalu kedekut. Kita tidak mahu fitnah pada masa akan datang menimpa kita atau dakwah itu sendiri. Kita tidak mahu pada masa akan datang, kita akan mengeluh bahawa dakwah itu menzalimi kita kerana menjadikan kita miskin. Semoga dijauhkan.
Berinfak biarlah juga berdasarkan wahyu, bukannya nafsu. Tidak kiralah sedikit atau banyak, asalkan ikhlas semata-mata kerana Allah, bukan kerana manusia.
Wallahu'alam.


1 comment:
salam wbt..
afwan tapi ade satu pertanyaan..bagaimana yg dimaksudkan dgn meninggalkan amal kerana manusia adalah riak??boleh jelaskan?? macam mana kalo kita contohnya bermalam dirumah kawan lepas tu membaca al-quran selepas solat tidak byk helaian nya seperti kita di rumah sendiri kerana risau boleh menimbulkan rasa bangga dan risau itu akan menimbulkan pujian d rakan2..kerana pujian mampu membuat seseorg riak dan jwpnnya pasti amalan sia2..aasif jiddan jika panjang pula pertanyaan..jazakallahu khoir..
yg ingin tahu,
dr bumi sebelah.
Post a Comment